Jangan bunuh diri jumpa Liverpool - Utusan Malaysia

Jangan bunuh diri jumpa Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VALENCIA, Sepanyol 13 Dis. – Manchester United terlepas peluang keemasan untuk mengungguli Kumpulan H, Liga Juara-Juara hari ini apabila tewas 1-2 kepada Valencia.

Namun, bukan perkara itu yang membimbangkan Red Devils, sebaliknya tumpuan anak-anak buah Jose Mourinho sudah terarah kepada pertembungan menentang musuh ketat, Li­verpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Ahad ini.

United, yang sudahpun me­layakkan diri ke peringkat kalah mati lebih awal tewas dalam perlawanan yang menyaksikan Paul Pogba gagal menyudahkan banyak peluang terhidang manakala Phil Jones menjaringkan gol sendiri.

Selepas melihat aksi lembab dan lesu Reds Devil di Valencia, bekas bintang tengah mereka, Darren Fletcher berkata, United tidak boleh bermain secara terbuka apabila menentang Li­verpool kerana ia ibarat ‘membunuh diri’.

“Mereka tidak boleh me­ratapi kekalahan terlalu lama kerana ada tugas berat menanti selepas ini iaitu bertemu Liverpool.

“United menurunkan sebahagian besar tonggak utama ketika menentang Valencia, jadi persoalannya bagaimana mereka hendak berdepan Liverpool nanti? Mereka tidak boleh lagi bermain perlahan, lesu dan seperti tiada arah tuju,” katanya kepada BBC Radio 5.

Dalam perlawanan hari ini, Marcus Rashford meledak gol tunggal pelawat, tiga minit sebelum tamat permainan manakala jaringan tuan rumah disempurnakan Carlos Soler (minit ke-17) dan Jones.

Sementara itu, Mourinho yang berang dengan prestasi pemainnya menegaskan, kekalahan tersebut tidak mengejutkan dan dia tidak ‘belajar apa-apa’ daripada perlawanan itu.

Ketika ditanya, apakah kekalahan ini memberi pengajaran kepada pasukannya, Mou­rinho dengan nada sinis berkata: “Tidak, mungkin kamu belajar sesuatu tetapi tidak saya.

“Saya tidak belajar apa-apa daripada perlawanan ini, tiada langsung. Apa yang berlaku hari ini tidak mengejutkan saya.”

Selaku naib juara kumpulan, United akan diundi bertemu sama ada Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich, Paris Saint-Germain, Borussia Dortmund atau Porto dalam pusingan 16 akhir.

Juventus muncul juara kumpulan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×