Jangan biar UMNO terus bercelaru - Utusan Malaysia

Jangan biar UMNO terus bercelaru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 13 Dis. – UMNO tidak seharusnya dibiarkan berterusan dalam keadaan bercelaru selepas pemimpin UMNO Sabah keluar parti secara beramai-ramai kelmarin kerana dikhuatiri boleh melenyapkan terus parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya masalah gagal dipulihkan dan tiada pembaharuan dilakukan, tidak mustahil keadaan akan menjadi lebih buruk dan teruk.

‘‘Kesusutan pengaruh UMNO bukan sahaja akan menjadi lebih parah, malah akan mematikan parti perjuangan orang Melayu ini dalam sedikit masa lagi.

MOHAMED KHALED
MOHAMED KHALED 

‘‘Justeru, saya menyeru agar peristiwa yang berlaku di Sabah ini menjadi pencetus pembaharuan yang sangat didambakan oleh ahli UMNO dan orang Melayu.

‘‘UMNO tidak bo­leh terus berdolak-da­lik dan hidup dalam penafian. Ke­pemimpinan, hala tuju serta pemulihan parti mesti menjadi agenda yang diterjemahkan secara tegas dan serius. Parti ini hanya akan dapat diislahkan dengan kepimpinan yang berwibawa, berkesan dan berintegriti,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru, bekas Menteri Besar Johor itu mahu Majlis Tertinggi UMNO mencari jalan pencerahan bagi menangani perkara tersebut dengan segera.

Katanya, ternyata ramai pemimpin UMNO tatkala kehilangan kuasa menjadi sangat rapuh dan hilang pedoman perjuangan.

‘‘Selaku pemim­pin, kita sepatutnya mempamerkan ketahanan dan kesungguhan untuk bersama-sama membetulkan parti. Andai ada langkah yang canggung, janganlah lantai yang dipersalah. Andai ada yang lemah dalam perjuangan bangsa, janganlah yang dibuang itu wadahnya,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×