Jangan bangkitkan isu perkauman, agama demi kepentingan politik - Utusan Malaysia

Jangan bangkitkan isu perkauman, agama demi kepentingan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Rakyat Selangor khususnya ahli politik diingatkan agar tidak mengambil kesempatan membangkitkan isu-isu perkauman dan keagamaan demi kepentingan politik dan parti masing-masing.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah masyarakat harus sedar bahawa isu-isu berkaitan kaum dan agama amat sensitif dalam kalangan masyarakat kita.

Titah baginda, sesuatu pandangan yang ingin diberikan perlu dilakukan secara berhemah dan berperaturan tanpa perlu mempersoalkan apa yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Beta amat dukacita dan kesal terhadap rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield di Subang Jaya yang mengakibatkan kecederaan teruk berlaku kepada seorang anggota bomba dan penyelamat yang sedang menjalankan tugasnya.

“Beta turut dimaklumkan terdapat banyak kerosakan kepada harta benda awam susulan rusuhan itu. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku jika kita tahu menghormati undang-undang, budaya, agama dan sensitiviti pelbagai kaum di negara ini,” titah Sultan Sharafuddin sempena Hari Keputeraan baginda ke-73 di Istana Alam Shah hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya rakyat negara ini secara keseluruhannya tidak merosakan segala yang telah dibina bersama selama ini dengan menimbulkan pelbagai kekeliruan dan syak wasangka di antara kaum dan fahaman agama yang wujud di dalam masyarakat kita.

Baginda bertitah, bagi membina sebuah negara ia memakan masa yang lama untuk dibentuk namun, boleh musnah dan hancur di dalam sekelip mata sahaja sekiranya tidak berhati-hati dan bermusuhan antara satu sama lain.

Justeru, Sultan Sharafuddin menegaskan, rakyat tidak boleh sama sekali melupakan asal-usul dan melihat kepada detik sejarah pembentukan negara ini.

“Rakyat di negara ini perlu tahu sejarah pembentukan ‘kontrak sosial’ iaitu satu bentuk persetujuan dan persefahaman antara pelbagai kaum di negara ini semasa negara kita mencapai kemerdekaan.

“Persefahaman yang dicapai ini adalah meliputi pelbagai aspek sosio-ekonomi dan taraf kerakyatan bagi pelbagai kaum di negara ini.

“Persetujuan melalui kontrak sosial ini kemudiannya menjadi teras dan elemen penting yang tercatat di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN