KUALA LUMPUR 4 Dis. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Makan Malam Amal Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) bersempena dengan Islamic Fashion Festival (IFF).
Majlis makan malam yang diadakan bersempena program IFF 2018 itu adalah bagi mengumpul dana dan sumbangan tajaan dalam menguruskan kejohanan Woodball Piala Dunia ke-9 (WCWC) pada tahun 2020, di mana negeri Perlis telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan tersebut.
Presiden PWNPs, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, ini merupakan satu penghargaan dan penghormatan dalam menganjurkan majlis ini dalam mempromosikan sukan woodball di samping bekerjasama dengan industri seni fesyen tanah air.
Katanya, persediaan dalam menuju ke tahun 2020 telah dirancang dengan rapi dan beliau mensasarkan agar negeri Perlis akan berjaya melaksanakan penganjuran kejohanan berprestij itu di mana pada tahun 2020 juga, Perlis akan turut menganjurkan Kejohanan Woodball Malaysia Terbuka dan Kejohanan Woodball Universiti Piala Dunia.
Menurut pengasas IFF, Datuk Seri Raja Shah Rezza pula, peluang sebegini harus diberi tumpuan lebih dalam mempamerkan kreativiti pereka fesyen tempatan disamping menarik penaja-penaja untuk memperlihatkan jenama tempatan yang diketengahkan.
“Ia juga mampu meluaskan bakat terpendam pereka –pereka fesyen tempatan dalam membuka peluang yang lebih besar kepada mereka,” katanya.
Dalam majlis itu juga, turut diadakan pertunjukan fesyen yang direka khas oleh enam orang pereka fesyen tempatan.
Mereka dijemput bagi mempamerkan rekaan masing-masing. Anakanda baginda Raja Muda Perlis, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail juga turut mengambil bahagian dalam mempamerkan rekaannya sendiri yang bertemakan Oh Yes Pleats.
Jenama yang digunakan oleh Sharifah Khatreena adalah “Khatreena” yang diinspirasikan oleh namanya sendiri.
IFF 2018 diadakanpada 3 dan 4 Disember 2018 dan setiap sesi pertunjukan fesyen akan melibatkan badan NGO atau swasta yang berbeza juga bertujuan mengumpul dana amal bagi perkara-perkara mengikut objektif badan organisasi tersebut.
Majlis ini berjaya mengutip lebih kurang RM500,000 untuk digunakan bagi mengurus kejohanan yang dimaksudkan, termasuk juga sebahagian sumbangan akan digunakan bagi tujuan pendidikan dan kebajikan yang dikendalikan YTSP.
Baginda Raja Muda Perlis juga merupakan Pengerusi YTSP dan Penaung Diraja PWNPs yang sangat aktif dalam merangka dan merancang pelbagai aktiviti lain lagi menjelang tahun 2020. – UTUSAN ONLINE










