Jamu selera pertaruh nyawa - Utusan Malaysia

Jamu selera pertaruh nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Dis. – “Tak sampai sejam selepas disita, pengusaha restoran 24 jam itu mula mengarahkan pekerjanya meletakkan semula kerusi dan meja bersebelahan dengan la­luan penduduk tanpa menghiraukan bahaya kepada pelanggan,” keluh penduduk di Taman Prima Saujana, Kajang dekat sini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahtera­an Lingkungan Persatuan Penduduk Taman Prima Saujana, Jamaluddin Ahmad, 60, selain tidak mempedulikan nyawa pe­langgan, kedudukan kerusi dan meja pelanggan yang diletakkan terlalu hampir dengan jalan menyebabkan laluan keluar masuk penduduk terganggu.

“Masalah ini sudah berlarutan kira-kira dua tahun lalu sejak mula-mula restoran itu bero­perasi. Kedudukan meja makan yang hanya beberapa inci dari jalan raya boleh mengundang padah bila-bila masa sahaja.

“Kita tidak mahu kejadian seorang wanita yang maut dilanggar pacuan empat roda ketika makan di restoran seperti itu di Taman Equine, Seri Kembangan berulang, ,” katanya.

Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas, Utusan Malaysia meninjau ke lokasi berkenaan ketika perlawanan akhir Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 antara Malaysia dan Thailand yang disiarkan secara langsung Sabtu lalu.

Berdasarkan pemerhatian, kira-kira 20 meja makan yang diletakkan di luar restoran itu dipenuhi pelanggan tanpa menghiraukan jarak mereka dengan laluan kenderaan yang berada pada jarak kurang semeter.

Lebih terdesak, pemilik resto­ran itu turut memasang beberapa lampu limpah berdekatan meja makan untuk menarik le­bih ramai pelanggan atau sebagai langkah ‘keselamatan’ supaya ke­dudukan pelanggan dapat dilihat dari jauh.

Penduduk mendakwa, aduan kepada pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terhadap restoran itu sudah dibuat sebanyak lima kali dan walaupun telah beberapa kali disita, pemiliknya se­perti kebal.

Bahkan dalam beberapa sesi pertemuan penduduk de­ngan pihak restoran berkenaan, mereka memaklumkan mendapat ‘kebenaran’ daripada pihak tertentu yang memberi jaminan bahawa mereka bebas untuk meletakkan meja makan di luar premis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN