Jambatan sementara Pulau Setelu hampir tengelam - Utusan Malaysia

Jambatan sementara Pulau Setelu hampir tengelam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 13 Dis. – Jambatan sementara Pulau Setelu yang menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli, di sini dinaiki air selepas paras Sungai Nenggiri meningkat akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Difahamkan, jambatan sementara itu mulai ditenggelami air kira-kira pukul 7 pagi ini menyebabkan penduduk yang mahu keluar ke jalan utama terkandas dan terpaksa berpatah balik.

Seorang penduduk Pulau Setelu, Mohd. Shafie Abdullah, 40, berkata, pengguna yang cuba menyeberangi jambatan perlu berhati-hati kerana paras air didapati semakin meningkat, selain terdapat sisa kayu dan serpihan balak tersangkut pada jambatan.

“Hujan turun sejak semalam di bandar dan kawasan pedalaman.

“Kami sudah buat persiapan termasuk menyediakan bot bagi menyeberangi sungai. Mana tahu berlaku kes kecemasan ketika laluan utama ke bandar Gua Musang ini terputus terus dalam jangka masa lama,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Aziz Harun, 31, berkata, rutin harian dia untuk ke bandar Gua Musang tergendala kerana air sudah menenggelami jambatan.

“Saya yang menunggang motosikal tiada pilihan selain terpaksa berpatah balik ke rumah.

“Masalah jambatan tenggelam ini sudah lebih tiga tahun membelenggu penduduk dan pengguna jalan raya Gua Musang-Jeli. Setiap kali hujan lebat, kami akan terkandas dan terputus jalan darat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, anggotanya telah dikerahkan ke lokasi untuk memantau keadaan dan memastikan keselamatan penduduk.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk tidak melalui jambatan sementara itu jika air mula melimpah ke atas jambatan, dan menggunakan laluan alternatif lain yang lebih selamat.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×