RANTAU PANJANG 24 Dis. – Jabatan Imigresen Malaysia akan menambah baik kemudahan prasarana di pintu masuk dan keluar dari negara ini dalam usaha mengurangkan kesesakan ketika kerja-kerja pengesahan pasport terutama pada waktu puncak.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, bagaimanapun perkara itu akan dibawa ke pengetahun Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.
Menurutnya, kerja-kerja itu membabitkan penambahan kaunter-kaunter di kawasan berkenaan yang pastinya turut memberikan impak kepada sturuktur bangunan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
“Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, saya yakin dan percaya masalah kesesakan di ICQS dapat dikurangkan.
“Langkah ini sekaligus meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat urusan keluar masuk di ICQS Rantau Panjang di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Mustafar turut menyerahkan sumbangan kit makanan banjir kepada anggotanya.
Mustafar memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan sistem M-Bike yang digunakan di ICQS Johor di pintu-pintu masuk negara.
Katanya, sistem ini mampu mempercepatkan lagi kerja-kerja keluar masuk dengan hanya meletakkan pasport pada alat pengimbas dan biometrik. – UTUSAN ONLINE










