SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Aminuddin Harun menyerahkan kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membuat keputusan berhubung kedudukannya sebagai Pengerusi PKR Negeri Sembilan.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, beliau cuma menjalankan amanah yang diberikan kepadanya memandangkan pelantikannya sebagai Pengerusi PKR negeri dibuat oleh pucuk pimpinan parti.
“Saya menerima amanah yang diberikan dan saya rasa pimpinan parti menaruh kepercayaan kepada saya. Bagaimanapun, saya serahkan perkara ini kepada pucuk pimpinan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini sebentar tadi.
Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa majoriti Ketua Cabang PKR di Negeri Sembilan menulis surat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menentang pelantikan Aminuddin sebagai Pengerusi PKR negeri.
Seramai tujuh daripada lapan Ketua Cabang PKR di Negeri Sembilan didakwa menolak kepimpinan Aminuddin sebagai pengerusi PKR negeri menerusi surat yang menyebut mengenai kelemahan dalam pentadbiran.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau tidak tahu dari mana portal berita berkenaan mendapat maklumat tersebut sedangkan perhubungan beliau dengan Ketua Cabang PKR di Negeri Sembilan berada dalam keadaan baik.
“Saya tidak tahu dari mana mereka dapat maklumat itu sedangkan ketua-ketua cabang masih berhubung dengan saya,” katanya. – K! ONLINE










