APABILA isu papan tanda jalan yang mengandungi tulisan Cina di kawasan Subang menjadi polemik dalam media sosial, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan tegas mengarahkannya diturunkan dan digantikan segera dengan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.
Meskipun pada asalnya sekadar ‘berlegar’ dalam alam maya, namun terbukti baginda sentiasa mengikuti perkembangan semasa dari segenap aspek khususnya membabitkan negeri ini.
Baginda tidak mahu masyarakat Melayu menjadi resah gelisah. Isu bahasa dan tulisan Jawi merupakan suatu perkara yang sensitif kerana jelas di bawah Artikel 52 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi Persekutuan.
Ternyata komitmen baginda untuk memayungi hak-hak orang Melayu amat jelas dalam soal ini kerana isu bahasa mahupun agama Islam bukan isu remeh-temeh yang boleh diselesaikan di meja rundingan atau berdebat dalam media massa mahupun media sosial.
Sesungguhnya Sultan Sharafuddin istiqamah dalam memelihara bukan sahaja kepentingan orang Melayu tetapi komitmen baginda dalam memastikan masyarakat berbilang kaum dan agama tidak berpecah-belah.
Ketegasan yang dizahirkan baginda amat disanjung tinggi memandangkan isu tersebut jika tidak dibendung akan terus menjadi bahan bicara tidak berkesudahan.
Sememangnya perpaduan umat Islam, keistimewaan orang Melayu dan pematuhan kepada Perlembagaan sentiasa menjadi keutamaan Sultan Selangor.
Janganlah ‘diusik’ perkara-perkara itu. Baginda tidak teragak-agak menegur jika ada mana-mana pihak cuba mencabar. Baginda dengan tegas akan menitahkan tindakan segera diambil seterusnya mengingatkan agar tidak berulang.
Dalam memastikan perpaduan ummah juga, baginda terus tegas tidak membenarkan masjid-masjid digunakan untuk tujuan politik.
Baginda pernah menzahirkan kekecewaan apabila ada beberapa ahli politik termasuk bukan Islam menggunakan masjid di Selangor untuk tujuan berkenaan.
Sehubungan itu, semua pihak harus terbuka minda mereka untuk menerima ketetapan tersebut memandangkan banyak isu semasa yang sensitif tidak wajar dibincangkan dalam masjid.
Maka biarkan masjid menjadi medan menyatukan ummah agar mereka tidak terhindar daripada bibit-bibit perpecahan yang merugikan agama Islam.
Komitmen Sultan Sharafuddin juga jelas terserlah dalam mengangkat agama Islam di tempat yang tinggi apabila baginda menyuarakan rasa dukacita kerana terdapat segelintir pemimpin Islam di negara ini menyokong tuntutan golongan liberalisme.
Baginda bertitah, fahaman liberalisme jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar dan boleh memesongkan akidah.
Titah baginda, fahaman negatif itu sepatutnya perlu segera ditangani dan dibanteras hingga ke akar umbi dengan mencari jalan penyelesaian terbaik demi memelihara kesucian Islam.
Ketegasan baginda amat bertepatan berikutan fahaman liberalisme telah berjaya mempengaruhi segelintir umat Islam di dunia sehingga muncul golongan yang menuntut kesamarataan gender, perkahwinan sesama jantina, menolak ulama, wanita menjadi imam solat dan wali perkahwinan, menghalalkan perkahwinan orang Islam dengan penganut agama lain serta tuntutan kebebasan beragama serta menukar agama sesuka hati.
Menurut baginda, golongan liberalisme ini juga secara terang-terangan melaungkan mengenai hak kebebasan individu, kebebasan mutlak, mencabar undang-undang syariah, selain mempertikaikan peraturan Islam, mahkamah syariah dan pihak berkuasa agama secara terbuka dalam media sosial.
Bagi memastikan kesucian Islam sentiasa terpelihara, baginda memastikan aspek penguatkuasaan diberi penekanan.
Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dititahkan memantapkan tindakan terhadap semua pihak yang didapati cuba menyebarkan sebarang bentuk fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam atau yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng.
Baginda amat khuatir jika pemikiran tersebut tidak dibendung secara serius, ia mungkin akan menjadi satu jalan memudahkan musuh Islam menghancurkan agama di negara ini dan dikhuatiri Allah akan menurunkan malapetaka kepada kita semua.
Betapa titah Sultan Selangor terhadap beberapa isu wajar diambil sebagai peringatan untuk menjamin kehidupan harmoni antara umat Islam dan orang bukan Islam terus terpelihara selaras peruntukan undang-undang di Selangor khususnya dan negara amnya. Ibarat bidalan Melayu, hidup dikandung adat mati dikandung tanah.
Daulat tuanku!










