Istilah hak asasi manusia disalah guna - Utusan Malaysia

Istilah hak asasi manusia disalah guna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 11 Dis. – Mungkin wujud keperluan untuk membuat masyarakat lebih sensitif dengan takrif dan skop sebenar istilah ‘hak asasi manusia’ kerana istilah itu kini disalah guna oleh sesetengah pihak.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata, ia disalah guna untuk mencapai motif tertentu dan digunakan hingga pertimbangan waras dan realiti dikesampingkan sementara keamanan, keharmonian kaum dan keselamatan nasional dijadikan perkara kedua penting.

‘‘Bahaya yang timbul daripada salah guna ini atau penggunaannya yang melampau ialah dalam masa terdekat istilah ini boleh memberi konotasi negatif,’’ kata beliau.

Dalam ucaptamanya pada majlis dialog Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan ASEAN-Majlis Ketua Hakim ASEAN (CACJ) Dialog Hak Asasi Manusia Peringkat Tinggi ASEAN di sini hari ini, Malanjum yang juga anggota CACJ berkata, kebebasan mutlak merupakan fatamorgana atau setidak-tidaknya elusif (rumit dicapai).

‘‘Istilah hak asasi manusia pada sebarang masa boleh me­nimbulkan natijah yang tidak realistik dengan itu mencetuskan reaksi kurang elok daripada masyarakat,’’ kata beliau.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata, kebanyakan kes yang didaftarkan di mahkamah majistret membabitkan kesalahan kecil dan di Sabah kebanyakan mereka warga asing.

‘‘Tetapi Malaysia tidak ada pilihan dan terpaksa mereman mereka (warga asing). Saya diberitahu dalam setahun Jabatan Penjara membelanjakan RM1.4 bilion untuk makanan dan penjagaan mereka. Ini urusan yang cukup mahal,’’ kata beliau.

Beliau mencadangkan agar negara-negara ASEAN bertukar-tukar banduan supaya mereka yang menjalani hukuman di Malaysia boleh menjalaninya di negara mereka sendiri untuk menjimatkan kos. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN