Interpretasi fesyen Laudya Cynthia Bella - Utusan Malaysia

Interpretasi fesyen Laudya Cynthia Bella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Transformasi yang berlaku pada 2015 dengan mula mengenakan hijab memberi interpretasi baharu dalam hidup Laudya Cynthia Bella. Bukan sekadar ikut-ikutan, pelakon ini yang dipanggil Bella sedar dirinya adalah suri teladan kepada ramai jutaan peminatnya.

Justeru, dia mahu menjadi contoh yang terbaik buat mereka. Bella tidak mahu peminat serta dirinya sendiri terpalit dosa dek kerana mengikuti stail yang tidak menepati syariat Islam.

Berusaha menjadi Muslimah yang baik, Bella yang mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2017 mengakui tidak lagi selesa untuk mengenakan pakaian yang mengikut bentuk badan atau bodyfit.

“Alhamdulillah, saya kini tidak lagi selesa untuk memakai baju yang bodyfit. Pada saya, lebih baik mengenakan pakaian longgar kerana itu lebih selesa.

“Justeru, selepas mengeluarkan koleksi terbaharu tudung L by LCB, saya berhasrat mengeluarkan baju kurung sempena Aidilfitri nanti, namun ada sedikit sentuhan dari negara Indonesia,” ujar pelakon Syurga Yang Tak Dirindukan ini.

Mendapat sokongan daripada Engku Emran, Bella turut berkongsi pesanan suaminya yang mahukan yang terbaik buat isteri sekali gus memudahkan perjalanan bisnes.

“Selain tudung, saya ada juga mengeluarkan koleksi pakaian sendiri. Ada dalam kalangan peminat yang bertanyakan kenapa tidak ada saiz pakaian yang kecil mengikut bentuk badan.

“Serba salah saya mendapat pertanyaan itu kerana saya sendiri suka pakaian yang longgar, jadi bagaimana mahu keluarkan pakaian yang bodyfit?

“Sebab itu untuk baju kurung nanti, ia adalah versi Indonesia mengikut interpretasi saya. Suami ada memberitahu jika ingin mendapatkan pahala apabila ramai orang memakai baju yang direka saya, harus disesuaikan mengikut syariat Islam.

“Alhamdulillah, dengan sokongan yang saya terima daripada suami, mentua dan peminat, rezeki saya mencurah-curah. Mungkin dengan ini saya perlahan-lahan akan berhenti memakai seluar mengikut pinggul yang boleh menampakkan susuk tubuh.

“Malah, ibu mentua saya juga ada berpesan, jika mahu menjadi Muslimah yang baik, lebih baik mengenakan skirt berbanding seluar kerana seluar lebih menyerupai lelaki,” ujar Bella.

Menguruskan perniagaan

 

Keputusan Bella mengehadkan dirinya untuk berlakon nyata tidak membuatkan wanita manis ini berdiam diri. Menguruskan perniagaan tudung yang sudah mencapai usia setahun operasi menjadikan dia lebih bersemangat dan sibuk dengan urusan bisnes.

Baru sahaja membuka cawangan kedua butik di Publika, Solaris Dutamas, Bella ternyata mempunyai perancangan teliti untuk mengembangkan lagi jenama L By LCB yang diusahakannya.

“Alhamdulillah, syukur kerana saya kini mampu untuk tersenyum kerana berjaya membuka butik kedua di Malaysia. Cawangan pertama ialah di Robinson, KLCC.

“Pada awalnya bisnes L By LCB ini hanya bermula secara dalam talian selama lima bulan. Bila terdapat banyak permintaan yang mahu saya membuka kedai agar mudah membeli secara langsung, saya memilih KLCC dan Publika,” kata Bella.

Tidak sekadar memilih cawangan berdasarkan populariti, Bella terlebih dahulu membuat kajian dan meninjau sendiri faktor yang boleh melariskan jualan tudungnya kelak.

“Dua lokasi ini kerana ia pusat beli-belah yang berbeza dan khalayaknya juga berlainan. Di KLCC, kebanyakan pelancong akan datang ke sana kerana mereka menganggap KLCC adalah bukti yang mereka sudah melawat Malaysia. Khalayak di KLCC juga berbeza kerana mereka hanya datang untuk membeli-belah dan terus balik.

“Berbeza di Publika kerana khalayaknya sentiasa ada sehingga saya sendiri hairan kenapa orang selalu ramai ke sana. Rupanya mereka datang untuk bersantai bersama teman atau keluarga dan makan.

“Lantas butik ini sangat sesuai berada di sana bagi memenuhi kehendak khalayak yang ada.

“Ini hasil kajian saya terlebih dahulu sebelum membuka sesebuah kedai lantaran ia tidak boleh dibuat semberono sahaja,” katanya.

Selain daripada perniagaan tudung L By LCB, Bella turut mengusahakan perniagaan baju ready-to-wear (RTW), kelengkapan umrah, L Brooch Swarovski, kek keju Bandung Makuta dan L Honey by Laudya Cynthia Bella.

Suami beri syarat berlakon

 

Menyentuh tentang perkembangan karier seninya, Bella yang bakal tampil dengan filem terbaharunya berjudul Ambu pada 2019 memberitahu, dia kini mengehadkan dirinya untuk berlakon filem.

Walaupun menyedari karier seninya bergerak agak perlahan selepas berkahwin, Bella tidak pernah menyesal dan gembira dengan kehidupan yang dilaluinya ketika ini.

“Saya kini mahukan hasil kerja yang berkualiti. Bukan lagi semata-mata mahu mengejar bilangan filem yang ingin dilakonkan, tetapi setiap apa yang saya buat itu biarlah ada makna.

“Contohnya, saya tidak lagi mahu menerima watak untuk filem cinta semata-mata. Namun jika filem itu membawa kebaikan dan erti buat mereka yang menonton, ya saya akan terima.

“Seperti dalam filem Ambu, ia dibuat berdasarkan kisah benar selain perjalanan cerita yang berlainan daripada watak sebelum ini, maka saya setuju untuk berlakon.

“Lagipun suami sudah memberi keizinan buat saya untuk terus berlakon, namun dengan syarat setahun satu atau dua filem sahaja.

“Jadi, itu membuatkan saya lebih berhati-hati untuk menerima tawaran kerana saya mahu filem lakonan saya kelak biarlah mampu memberi impak kepada mereka yang menonton,” cerita pelakon berusia 30 tahun ini.

Selain Bella, filem Ambu yang mengangkat kehidupan budaya dan adat suku Baduy, Indonesia ini turut menampilkan Widyawati, Lutesha, Baim Wong, Enditha dan Andri Mashadi.

Perihal cahaya mata

Setahun berkahwin dengan Engku Emran dan berpindah ke Kuala Lumpur demi suami tercinta, tidak sehari pun Bella berasa menyesal dengan keputusan tersebut.

Bahagia hidup bersama suami beserta anak tirinya, Engku Aleesya dinikmati sebaiknya. Namun dalam masa sama, soalan mengenai cahaya mata juga tidak lepas daripada ditanya oleh peminat.

Meminta peminat mendoakan yang baik-baik buat dia dan Engku Emran, Bella menepis dakwaan yang timbul bahawa dia sudah mengandung dek kerana tubuhnya yang kelihatan agak berisi.

“Alhamdulillah, sepanjang perkahwinan dengan Engku Emran, saya dijaga dengan baik sekali. Sehinggakan selepas berpindah ke Malaysia, nafsu makan saya menjadi-jadi lantas membuatkan badan naik. Makanan di Malaysia enak-enak semuanya dan hidangan yang dimasak ibu mentua memang sedap.

“Saya tidak marah dengan pertanyaan bila mahu mengandung kerana ia adalah keadaan biasa yang harus dihadapi pasangan yang sudah berkahwin.

“Sementara ini, saya bahagia dengan kehadiran Aleesya yang sangat manja,” jelas Bella yang bakal menunaikan umrah menerusi kerjasama dengan agensi pelancongan di Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN