NARATHIWAT 29 Dis. – Empat daerah di wilayah Narathiwat, selatan Thailand digegarkan dengan lapan letupan bom dan insiden tembak-menembak antara individu bersenjata dengan pasukan keselamatan.
Kejadian itu berlaku sejak petang semalam dan berlanjutan sepanjang malam.
Menurut Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Dusadee Choosankij, mereka telah mengarahkan agar semua anggota polis di wilayah Narathiwat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga khususnya mereka bertugas di pos-pos keselamatan. Siri keganasan bermula pada 6.30 petang Jumaat waktu tempatan apabila sekumpulan individu bersenjata menyerang hendap pos keselamatan di Mukim Kalisa di daerah Ranget, wilayah terbabit. Kejadian tembak-menembak menggunakan senjata ringan dan pelancar bom M79 berlarutan dalam 10 minit, tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan atau kematian di kedua-dua pihak. Menurut sumber polis tempatan, motif serangan hendap itu adalah untuk merampas senjata api digunakan oleh anggota keselamatan yang bertugas tetapi gagal.
Sementara itu di daerah Chana, empat butir bom yang menyasarkan tiang-tiang elektrik diletupkan. Letupan bom juga dilaporkan berlaku di daerah Sisakorn dan Takbai tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan, tetapi empat pengguna jalan raya cedera ringan dalam satu lagi kejadian serangan bom di Kampung Sako Jumaat malam. Pihak keselamatan Thailand turut menemukan 18 butir bom buatan sendiri di tiga daerah Narathiwat yang kemudian dimatikan oleh anggota skuad pemusnah bom. – BERNAMA










