Ingin blog sepenuh masa? - Utusan Malaysia

Ingin blog sepenuh masa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Alangkah seronoknya sekiranya anda tidak perlu kelam-kabut setiap hari ke pejabat, mengadap ­kesesakan trafik setiap pagi dan petang, bekerja untuk orang lain, mempunyai masa untuk keluarga setiap hari, tidak ternanti-nanti hari Sabtu setiap minggu dan juga mempunyai pendapatan melebihi biasa pada masa sama.

Tidak ramai yang tahu bagaimana untuk menjana pendapatan yang jauh lebih besar dengan menjadi penulis blog sepenuh masa. Yang mereka tahu ialah letak ruangan iklan di dalam laman blog anda. Itu sahaja.

Maaf, cara ini tidak akan membantu anda ‘bernafas’ sama sekali kerana jenama hanya akan datang kepada anda sekiranya laman blog anda mempunyai jumlah trafik ha­rian yang tinggi. Kalau setakat ala-ala sahaja, tiada sesiapapun yang akan datang.

Tahun 2019, genap lapan tahun saya menjadi penulis blog sepenuh masa. Di sini saya ingin kongsikan apakah yang anda boleh lakukan berdasarkan pe­ngalaman saya menjadi penulis blog dan pemasar digital sepenuh masa.

Strategi penjenamaan

Strategi penjenamaan ialah cara bagaimana untuk memastikan orang akan mengingati anda setiap kali mereka ingin membeli sesuatu yang anda ada. Dengan kata lain, anda akan sentiasa berada di dalam pemikiran mereka apabila mereka terfikir tentang sesuatu yang anda ada.

Penjenamaan diri

Sebagai jenama kecil, strategi yang paling cepat untuk membuatkan orang percaya kepada jenama dan seterusnya membeli daripada anda ialah dengan membuat penjenamaan diri terlebih dahulu. Ini lebih mudah kerana orang ramai lebih percayakan orang lain berbanding sesuatu yang bukan orang ­se­perti syarikat.

Membeli domain yang sesuai

Jangan sesekali membeli nama domain yang bukan-bukan. Anda perlu strategik dalam memastikan anda mengukuhkan strategi penjenamaan diri tadi. Mulakan dengan membeli nama domain mengikut nama anda sendiri.

Membeli tema dan hosting yang sesuai

Jangan terlalu kedekut, menggunakan tema atau susun atur laman blog percuma tidak akan membawa anda ke mana-mana. Anda perlu membeli tema yang premium, yang mampu menarik orang untuk datang dan berada lebih lama di dalamnya. Dengan memastikan orang akan berada lebih lama, kebarangkalian untuk mereka membeli adalah lebih tinggi.

Perspektif penulisan dan pembinaan autoriti

Anda tidak perlu bercerita tentang semua perkara setiap masa. Lama-kelamaan orang akan jemu, keliru dan akhirnya anda akan dilihat membosankan. Anda perlu fokus tentang industri yang anda berada. Satu sahaja. Kemudian tulis topik-topik tentang pendapat anda, trend yang telah dan akan berlaku, pandangan peribadi anda, idea, temu bual orang lain dalam industri itu dan cara-cara bagaimana untuk melakukan sesuatu yang melibatkan industri anda. Ini akan membantu mengukuhkan autoriti anda dalam industri tersebut.

Konsisten dan berterusan

Ini yang perlu anda pastikan. Sekiranya anda terbitkan penulisan anda pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu maka anda perlu menerbitkan setiap penulisan pada hari-hari tersebut. Sekiranya anda menulis se­minggu sekali, maka kekalkan momentum ini. Rutin yang terbaik bagi menerbitkan penulisan blog ialah setiap hari kerana enjin pencarian seperti Google akan sentiasa menghantar algoritma mereka yang dikenali sebagai crawler untuk datang berkunjung ke laman-laman blog yang mempunyai kandungan segar setiap masa dan relevan dengan permintaan pembaca.

Pendapatan harian

Alam perniagaan sangat mencabar. Anda tidak boleh mengharapkan orang akan datang membeli setiap hari. Jadi, anda perlu mempunyai pendapatan harian daripada aktiviti-aktiviti tertentu. Ruang iklan di dalam blog anda dan newsletter sedikit membantu di sini walaupun tidak besar. Mungkin anda juga boleh menulis untuk orang lain, membuat bengkel dan mengajar, bercakap di seminar, menjadi influencer berbayar dan juga membuat ulasan tentang produk atau perkhidmatan orang lain. Pendapatan ini sa­ngat penting untuk membayar perbelanjaan harian peribadi anda.

Jana pendapatan yang tinggi

Di sini di mana pendapatan sebenar anda berada. Fokus anda perlu kepada menyediakan perkhidmatan juruperun­ding atau menjual produk yang selari dengan penjenamaan diri dan industri anda.

Jana trafik

Kesemua di atas tidak bermakna sekiranya anda tidak mempunyai trafik yang tinggi. Untuk menjana trafik, tiga cara penting boleh anda lakukan. Menulis untuk majalah, surat khabar atau laman blog ter­kenal, penggunaan media sosial dan juga taktik pengoptimuman enjin pencarian (SEO). Ketiga-tiga ini akan membantu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN