Indahnya saat berdarah manis - Utusan Malaysia

Indahnya saat berdarah manis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini acapkali dia tersenyum bersendirian mengenangkan momen majlis pertunangannya. Maklumlah kalau diikutkan masuk hari ini, sudah 15 hari dia bergelar tunangan kepada Mohd. Aidil Abdul Aziz.

Benar, lelaki itu yang sedang merajai hatinya waktu ini. Yang membuai perasaan wanitanya yang pernah terluka satu masa dulu. Pendek kata, Aidil menjadi pengubat dan segala-gala buat dia waktu ini.

Terkenang-kenang lagi saat indah majlis pertunangan yang berlangsung pada 18 November lalu. Seram sejuk dan berdebar saat jari manisnya disarung cincin pertunangan.

Sungguh indah perasaannya pada waktu itu, hanya Tuhan saja yang tahu. Bagaikan di awang-awangan kerana momen berharga itu merupakan julung kali dirasakan sepanjang hidup 34 tahun.

“Ini adalah pengalaman kali pertama saya menjadi tunangan orang. Perasaan gembira itu tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata,” ujar Fasha Sandha yang dalam fasa berdarah manis.

Meniti kebahagiaan, mungkin kedengaran klise tapi itulah yang sedang dialami bintang filem 4 Madu ini. Yang jelas, dia sangat seronok menikmati alam pertunangannya pada hari ini.

Nikmatnya itu bertambah indah apabila cintanya dengan lelaki idaman direstui kedua-dua belah keluarga. Lebih menyentuh perasaan apabila doa yang baik-baik tidak putus diterima.

“Tapi keadaan sebegini tak boleh berpanjangan. Aidil tidak mahu bertunang terlalu lama. Dia mahu waktu bertunang ini untuk kita lebih mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu pasangan pelakon ini bertunang di rumah Fasha yang terletak di Ampang, Selangor. Pada majlis berkenaan, ibu Aidil, Rokiah Mohd. Noor telah menyarungkan sebentuk cincin di jari manis aktres berkenaan.

Majlis secara tertutup itu disaksikan oleh ayah Aidil, Abdul Aziz Ishak dan kaum keluarga yang datang dari Rembau, Negeri Sembilan.

Harapan kekal

BAGI seorang wanita yang pernah mengalami kegagalan dalam rumah tangga, Fasha mengambil berat terhadap urusan perkahwinan keduanya ini.

Seboleh-bolehnya dia mahukan mahligai yang bakal dibina itu berkekalan selama-lamanya. Itu harapan besar ibu kepada Putra Rayfal Ramli, 4, dan Putri Raysha Jemaima, 3, ini.

“Untuk seorang ibu tunggal yang hidup solo selama tiga tahun, semestinya saya tidak akan mensia-siakan ikatan ini. Banyak pengajaran yang sudah dipelajari pada masa silam.

“Kini adalah masa untuk memperbaiki kesilapan lalu. Saya perlu menjadi seorang ibu dan isteri yang lebih baik buat bakal suami dan anak-anak,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Fasha Fasha pernah berkahwin dengan usahawan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012. Bagaimanapun hubungan tersebut berakhir dengan perceraian pada 20 Januari 2016.

Tunggu tarikh

DALAM berkongsi perasaan bahagia, pelakon drama Natasha ini mengakui lebih teruja untuk mendepani hari bahagianya. Bagaimanapun perincian menjelang hari tersebut masih kabur.

Ini kerana hingga ke hari ini, dia masih menunggu keputusan perbincangan lebih terperinci antara kedua-dua belah keluarga. Lebih elok jika dia berdiam diri sementara waktu.

“Insya-Allah jika tiada aral, tahun depan kami akan melangsungkan majlis pernikahan. Cuma tarikh belum pasti lagi. Tunggu keputusan Aidil,” katanya.

Tidak mengharapkan majlis yang gah, Fasha cuma mengharapkan hari itu menjadi sejarah paling indah dalam hidupnya kelak.

Jujur dalam hubungan

Adakah pernah berlaku perselisihan sepanjang menjalinkan hubungan istimewa dengan Aidil.

Fasha: Jujur dikatakan kami belum pernah berlaku keadaan sebegitu. Ini kerana masing-masing jujur dan menjaga hati pasangan. Itu kunci utamanya.

Cemburu tak kalau Aidil digandingkan dengan pelakon wanita selepas ini. Mana tahu wujud perasaan ini. Kita tak boleh bohong naluri wanita bukan?

Fasha: Setakat ini belum rasa perasaan itu kerana masing-masing sangat profesional dalam tugas. Tak boleh ada perasaan melulu sebegitu. Tambahan kita bekerja dalam bidang yang sama.

Adakah Fasha akan memperlahankan jadual seni sejurus selepas berkahwin?

Fasha: Ya, sudah semestinya. Saya perlu memperlahankan sedikit jadual saya selepas berkahwin. Keutamaan saya kepada keluarga, suami dan anak-anak. Tak boleh lagi menjalani kehidupan seperti zaman solo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN