Impak ekonomi taman tema - Utusan Malaysia

Impak ekonomi taman tema

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEGOLAND® Malaysia Resort bukanlah nama asing, terutamanya bagi mereka yang menggemari aktiviti taman tema sama ada ‘indoor’ mahupun ‘outdoor’.

Sejak dibuka pada 15 September 2012, ia terus menjadi tarikan utama pengunjung ke selatan tanah air. Bahkan menjadi tumpuan pelancong dari luar negara terutamanya dari Singapura dan Indonesia

Taman tema yang menawarkan tujuh destinasi pengalaman berbeza kepada para pengunjung iaitu Beginning, Miniland, Castle, Xtreme, Imigination, Adventure dan Town itu merupakan taman tema Legoland ke enam diwujudkan di dunia selepas Legoland Billund di Denmark, Legoland Windsor di England dan Legoland Deutschland di Jerman.

Dua lagi taman tema yang sama iaitu Legoland California dan Legoland Florida dibina di Amerika Syarikat menjadikan LEGOLAND® Malaysia Resort sebagai perintis dalam membantu menjana ekonomi setempat dan dalam hal itu tentulah lebih spesifik terhadap ekonomi negeri di mana taman tema itu bernaung iaitu, Johor.

Johor seperti mana yang kita ketahui sedang membangun dengan begitu pesat dari segi pembangunan serta sektor industri pelancongannya.

Oleh yang demikian, pemilihan Iskandar Puteri atau nama asalnya Gelang Patah sebagai kawasan membangunkan taman tema seluas 31 hektar tersebut merupakan strategi yang tepat berikutan ia kawasan sedang pesat membangun selain mudah diakses terutamanya melalui lebuh raya.

Dari satu sudut, Iskandar Puteri yang terletak di dalam Wilayah Iskandar Malaysia itu juga dijangka muncul sebagai sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa yang dilengkapi pelbagai kemudahan menjelang 2025.

Menurut Pengurus Besar LEGOLAND® Malaysia Resort, Kurt Stocks, pelaburan besar dilakukan oleh pihaknya jelas berbaloi apabila taman tema tersebut kini sentiasa menjadi tumpuan ramai, baik dari dalam mahupun luar negara.

“Ia merupakan taman tema LEGO yang pertama di buka di Asia, pasti menarik pengunjung dari negara-negara sekitar untuk melawat.

“Antara pengunjung yang tertinggi dicatatkan adalah dari Indonesia dan Singapura, ujarnya ketika ditemui baru-baru ini di Johor Bahru.

Tambah Kurt, lebih memberangsangkan kewujudan taman tema itu menawarkan hampir 1,000 peluang pekerjaan tetap ketika awal pembukaannya sehingga kini selain memberikan impak positif terhadap pembangunan di sekitarnya.

Di awal pembukaan taman tema air dan hotel berasaskan LEGO itu mencatatkan sekitar dua juta pengunjung dari 37 buah negara.

Hampir RM750 juta dilaburkan oleh Kumpulan Merlin Entertainment bagi membina taman tema tersebut dan kini pengaruh jenama LEGO itu telah menarik lebih ramai pelabur untuk membina lebih banyak kemudahan di Medini North yang kini merupakan hab gaya hidup di Iskandar Malaysia.

Pelaburan yang dilaksanakan melonjak industri pelancongan di Johor menerusi kadar pelancong yang kian meningkat.

Selain LEGOLAND® Malaysia Resort, terdapat sebuah lagi taman tema iaitu Taman Tema Keluarga Puteri Harbour yang menempatkan Taman Tema Hello Kitty pertama di luar Jepun.

Sebelum itu, LEGOLAND® Malaysia Resort telah membangunkan Ninjago World yang dilengkapi Ninjago Ride memberikan pengunjung pengalaman perjalanan berkonsepkan empat dimensi (4D) dengan mengawal sendiri pengembaraan mereka dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengunjung ke taman tema tersebut.

Terbaharu, taman tema tersebut memperkenalkan SEA LIFE Malaysia iaitu akuarium interaktif bagi menempatkan hampir 13,000 hidupan marin seperti jerung, ikan pari, kuda laut, obor-obor dan pelbagai lagi bagi menarik pengunjung.

Jelas Kurt, SEA LIFE bukan sahaja merupakan pameran berkaitan hidupan laut, malah ia merupakan satu segmen baharu bagi taman tema tersebut yang menerapkan aktiviti pembelajaran dan konservasi hidupan marin terbesar di Asia.

“Di sini kami menawarkan pameran 11 habitat hidupan selain terdapat 25 lagi tangki yang menempatkan pelbagai hidupan marin yang berbeza dan ia merupakan salah satu pelaburan yang terbesar dilakukan oleh LEGOLAND® Malaysia Resort.

“Apa yang lebih penting, hampir 40 pekerjaan tetap baharu yang terdiri daripada pengurus sehingga kepada penghibur diwujudkan bagi melancarkan operasi pameran seluas 0.2 hektar itu,” katanya.

SEA LIFE akan dibuka kepada orang ramai menjelang Januari 2019 yang tertumpu kepada aktiviti pembelajaran terutamanya golongan kanak-kanak.

Pelaburan yang berterusan oleh LEGOLAND® Malaysia Resort itu membuktikan keyakinan mereka terhadap potensi dan perkembangan indusri pelancongan di Wilayah Iskandar serta mampu berkembang pesat seiring dengan pembangunan pelbagai infrastruktur dan hartanah di sekelilingnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×