KUALA LUMPUR 14 Dis. – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia adalah pada 4.7 peratus untuk 2018, berbanding ramalan awal sebanyak 5.3 peratus yang dibuat pada 7 Mac lepas.
Menurut IMF, inflasi telah menurun dan dijangka berada di sekitar purata 1.1 peratus pada tahun ini.
“Pertumbuhan kredit mula meningkat baru-baru ini dan aliran keluar modal telah terkawal. Lebihan akaun semasa dijangka merosot kepada 2.1 peratus daripada KDNK,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Satu pasukan IMF diketuai Nada Choueiri telah melawat Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 29 November hingga 12 Disember lalu, bagi melengkapkan Atrikel IV Rundingan dengan Kerajaan 2019.
Memandang ke hadapan, IMF berkata, pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia bagi 2019 dijangka sebanyak 4.5 hingga lima peratus dengan permintaan domestik kekal menjadi penyumbang utama pertumbuhan, manakala tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas import dari China akan terus mendatangkan kesan negatif ke atas pertumbuhan negara secara keseluruhan.
Inflasi sepatutnya berada pada 2.2 peratus, memandangkan kesan daripada pelupusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mula berkurangan.
“Risiko kepada prospek pertumbuhan adalah penurunan. Dari segi luaran, Malaysia terdedah kepada dasar perlindungan yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang agak ketat dan pertumbuhan lebih lemah daripada jangkaan dalam kalangan rakan-rakan perdagangannya,” katanya.
Menurut IMF, walaupun unjuran defisit belanjawan untuk 2018 mencerminkan kelewatan kepada pelarasan fiskal, tahap penyatuan fiskal yang dirancang oleh kerajaan untuk 2019 adalah bersesuaian dan dapat membantu membina penampan serta mengekalkan keyakinan pasaran kewangan.
“Dalam jangka masa sederhana, dasar fiskal harus mengikuti laluan penyatuan secara beransur-ansur. Komposisi pelarasan perlu dipertingkatkan supaya ia lebih berdasarkan kepada pendapatan dan mewujudkan ruang peningkatan dalam perbelanjaan sosial untuk menyokong pertumbuhan yang inklusif.
“Rangka kerja dasar monetari Malaysia telah berprestasi baik, ia menyampaikan pengukuhan kepada harga dan output. Pendirian dasar monetari semasa yang neutral adalah wajar memandangkan keadaan pertumbuhan tertutup kepada berpotensi, tiada tekanan inflasi dan keadaan kewangan yang beransur-ansur menjadi ketat,” katanya.
IMF berkata, sistem kewangan setakat ini berada pada kedudukan yang baik untuk menangani kejutan yang standard dengan keuntungan bank dan kecairan agak mantap manakala sektor korporat mencatatkan leveraj sederhana.
“Hutang isi rumah tinggi, tetapi menurun selepas pasaran perumahan mula terurus. Walaupun sektor kewangan masih berdaya tahan, langkah pengawasan oleh pihak berkuasa serta pertimbangan yang aktif bagi mengurangkan risiko adalah dialu-alukan,” katanya. – BERNAMA










