KLUANG 1 Dis. – Imam Masjid Jamek Simpang Renggam di sini dan isterinya meninggal dunia ketika sedang tidur di rumah mereka di Kampung Chokro, Simpang Renggam dekat sini awal pagi tadi.
Menurut anak sulungnya, Mohamad Farid Bera, 50, bapanya, Bera Madiran, 78, dan ibunya, Siti Munah Damin, 66, ditemukan tidak sedarkan diri oleh adik bongsunya di bilik mereka kira-kira pukul 5 pagi.
“Lazimnya bapa akan bangun sebelum subuh untuk mengimamkan solat subuh di masjid. Adik bongsu yang kemudiannya cuba mengejutkan mereka mendapati kedua-duanya tidak sedarkan diri.
“Bimbang dengan keadaan itu, adik saya kemudiannya memanggil ahli keluarga yang lain sebelum menelefon pihak hospital untuk memeriksa kedua-dua ibu bapa saya.
“Bapa dan ibu bagaimanapun disahkan meninggal dunia. Saya tidak pasti sama ada bapa ataupun ibu yang meninggal dunia dahulu. Ketika ditemui mereka masing-masing sudah tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Mohamad Farid berkata, sebelum kejadian ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun menghidap beberapa penyakit biasa sejak sekian lama.
“Bapa memang tidak ada penyakit serius sehingga menjejaskan kesihatannya, begitu juga ibu saya. Bapa juga tidak memberi sebarang tanda untuk pergi meninggalkan kami dan ceria malam sebelum pemergiannya.
“Apapun, saya dan keluarga reda. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini,” katanya yang tinggal berdekatan dengan rumah ibu bapanya.
Mohamad Farid memberitahu, bapanya merupakan seorang ahli agama yang disegani dan pernah menjadi guru di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam di sini.
“Bapa merupakan seorang yang disegani kerana arwah merupakan imam di kawasan ini. Amanat paling diingati ialah arwah selalu berpesan agar supaya jaga tingkah laku dan jangan lupa solat.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana urusan pengebumian berjalan lancar dan kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Berumbung pada pukul 10.30 pagi ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











