PADA hemat saya, usaha untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan satu keutamaan dan bukan juga satu isu besar. Akan tetapi apabila ia diperjudikan dengan pembohongan, sekali gus ia menjadikan ICERD ini terlalu sensitif untuk dipercaturkan.
Kedua, apabila isu ini mula diperjudikan, menteri berkenaan terus mencuit sentimen orang Melayu dan Islam, kononnya ia tidak akan menjejaskan kepentingan dan kedudukan agama Islam. Masakan orang Melayu mahu mempercayai beliau.
Rakyat tahu, hakikat sebenar ratifikasi ICERD ini ialah untuk mencabar kedaulatan negara ini, meremehkan Perlembagaan Persekutuan dan mengutamakan konvensyen antarabangsa acuan Barat.
Bagi pembangkang, politik pastinya menjadi satu produk yang berharga, lebih-lebih lagi bila banyak kumpulan aktivis masyarakat melihat begitu banyak kontroversi dicetuskan yang mampu mengundang reaksi polarisasi kaum dan agama. Jangan salahkan pembangkang jika mereka turut sama dengan kumpulan aktivis menolak hasrat meratifikasi ICERD ini.
Barangkali itulah taktik provokasi pihak tertentu, maka apabila dua isyarat itu dilontarkan, mereka ghairah melihat pihak-pihak yang tercuit melenting. Ini yang saya katakan sebelum ini, mereka adalah menteri-menteri bermentaliti pembangkang.
Lantas tercetuslah perang dingin di antara kerajaan dengan pelbagai kumpulan yang melabelkan diri mereka sebagai anti-ICERD atau pelindung kedaulatan negara.
Sekalipun memberikan pelbagai jaminan, stigma sudah terlekat pada ICERD bahawa ia adalah isu yang menjadi semakin sensitif. Lagi ia disentuh akan lebih sensitiflah jadinya.
Malah, isu ratifikasi ICERD kini sudah menjadi penanda aras tahap toleransi orang Melayu dan orang Islam terhadap sebarang bentuk provokasi. Terima kasih kepada beberapa pihak bukan Melayu yang memahami implikasi ratifikasi ICERD dan mereka juga sama-sama menolaknya. Maknanya, mereka sebagai rakyat negara berdaulat ini faham implikasi ratifikasi ICERD kepada kedaulatan negara dan Perlembagaan.
Nampaknya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, tiada ‘ribut’ melanda dan peralihan kuasa politik berlaku dengan aman. Lantas ada pihak yang teruja untuk mencuit keamanan ini dengan mencari isu yang boleh mencetus gelora keharmonian etnik dan agama yang dilihat tidak tergugat dek peralihan kuasa politik.
Isu ICERD tidak lebih daripada satu mainan gila mereka yang cintakan polarisasi kaum dan agama di negara berdaulat ini. Secara peribadi saya melihat empat hasil daripada pertaruhan ini yang mencetuskan #DaulatHimpunan812.
Pertama, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri menyatakan Kabinet setuju untuk menolak ratifikasi ICERD. Sekretariat Daulat Negara diterajui Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menerima dengan baik dan bersangka baik dengan pengumuman itu, lantas penganjur #DaulatHimpunan812 digerak bagi menghimpunkan semua rakyat menyatakan kesyukuran mereka terhadap kenyataan itu.
Semua bersangka baik dan berjanji berhimpun secara aman, tertib dan berdisiplin. Dr. Mahathir juga tidak membantah malah menyeru agar mereka berhimpun dengan tertib seperti yang dijanjikan.
Pada hari yang berkenaan, semua yang menyertainya mengotakan janji mereka. Maka tercatatlah dalam sejarah negara, #DaulatHimpunan812 sebagai yang paling besar, paling tertib dan paling bersih. Syabas Ummah dan terima kasih Dr. Mahathir.
Kedua, sekalipun Dr. Mahathir telah memberikan komitmen kerajaan untuk menolak ratifikasi ICERD, rakyat menerimanya dengan waspada. Rakyat wajib terus waspada dan berjaga-jaga, pastikan Dr. Mahathir mendapat sokongan suara rakyat untuk terus menolak ICERD.
Kebijaksanaan
Ketiga, kelicikan muslihat musuh-musuh ini tidak sukar untuk dihidu. Niat sebenar mereka meratifikasi ICERD ialah untuk mencabar kedaulatan negara dengan menggunakan pertubuhan antarabangsa dengan nilai global menekan kerajaan untuk meminda Perlembagaan bagi disesuaikan dengan kehendak global. Inilah bentuk penjajahan budaya dan minda pada alaf baru ini.
Keempat, himpunan itu juga adalah titik-mula kebangkitan Melayu dan Islam. Jika kita berlapang dada dan mengamati dengan bijaksana, penguatkuasaan Perlembagaan itu dalam rentak dan irama yang dilaksanakan pada hari ini sebenarnya lebih banyak memberikan kelebihan kepada bukan Melayu.
Saya ambil satu contoh ini pun cukuplah, iaitu isu pemberian kontrak kerajaan kepada bumiputera. Dalam keadaan sekarang, realitinya ialah ia lebih banyak memihak dan memberikan kelebihan kepada bukan bumiputera.
Bayangkan, dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Keenam hingga Ke-11 (1990-2020), nilai kontrak kerajaan lebih RM1.5 trilion. Seandainya kerajaan melaksanakan sepenuhnya tindakan afirmatif dan pastikan 80 peratus nilai kontrak itu (sekitar RM1.25 trilion) diagihkan kepada kontraktor bumiputera yang tidak pun sampai 100,000, pastinya mereka kini sudah cukup makmur.
Realitinya tidak begitu, majoriti mereka masih di takuk lama, terus menagih simpati kerajaan. Disebabkan kerajaan tidak menguatkuasakan tindakan afirmatif itu dengan tegas dan telus, berlakulah limpahan nikmat dan manfaat kontrak itu kepada ramai kontraktor bukan bumiputera.
Itulah barangkali sebabnya dalam ucaptama Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018, pada 1 September lalu, Dr. Mahathir banyak menyalahkan bumiputera sebagai kaum yang malas. Malas melaksanakan sendiri kontrak yang diberikan kerajaan kepada mereka.
Hakikatnya, bukan kontraktor bumiputera saja yang malas. Lain-lain pemegang taruh bumiputera (politik, penjawat awam dan kontraktor) terlibat dalam pengagihan kontrak itu sama malas. Ini kerana mereka sama-sama malas melaksanakan tindakan afirmatif itu setegas-tegasnya.
Dr. Mahathir mengeluh, tapi pemegang taruh bumiputera terbabit tidak. Anehnya, bukan bumiputera pula yang beria-ia menuntut keadilan kononnya berlaku diskriminasi. Betul, tindakan afirmatif sering dilaungkan.
Setahu saya buat masa ini ia hanyalah laungan. Ada sesiapa ingat bilakah kali terakhir kerajaan benar-benar melaksanakan tindakan afirmatif ini dan menghukum kontraktor bumiputera yang mengalibabakan kontrak yang diberikan kepada mereka? Tak pernah pun.
Tafsiran saya ialah #DaulatHimpunan812 adalah simbolik kepada kerimasan Melayu dengan semua asakan ini. Himpunan itu adalah penanda-aras baharu keberanian Melayu menghantar isyarat jelas kepada kerajaan. Mereka tidak akan teragak-agak memaksa kerajaan melaksanakan tindakan afirmatif ini sepenuhnya seperti mana diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Sama-samalah kita lihat nanti siapa untung dan siapa yang rugi. Sama-samalah kita lihat nanti adakah ICERD itu tuba yang mampu meracuni Melayu dan Islam. Atau, ia sudah menjadi jadam pahit yang mampu ditelan oleh Melayu untuk menjadikan mereka lebih berani, hebat, bermaruah, berkat dan tawakal.
Belum terlambat untuk Dr. Mahathir mengingatkan para menterinya agar lebih berhemah dalam bertindak dan lebih berbudaya dalam melakukan sesuatu percaturan. Belum terlambat untuk beliau mengeluarkan duri dalam daging yang terus-menerus menikamnya dari dalam. Air masih tenang, betul, tapi wajah buaya di bawahnya kian jelas.
Bayangkan di perkampungan Melayu, lazim hadir seorang peniaga Cina atau India membuka bisnesnya di situ. Bisnes mereka itu pastinya maju. Keselamatan mereka juga pasti terjamin. Mereka berjiran dengan damai kerana dalam Islam, jiran itu ibarat keluarga. Malah dipantunkan pula oleh Melayu:
Buai laju-laju
Sampai pucuk sena
Beli baju baru
Dari kedai Cina.
Hakikatnya, ICERD itu bukan tuba untuk mencemari perpaduan dan keharmonian. Ia sudah bertukar menjadi jadam yang memberanikan Melayu bertindak.
Jika perpaduan yang diidamkan, madu yang sepatutnya dituai. Seandainya madu yang dikehendaki, carilah dengan cara berhemah. Lebah yang bermadu, bukan tebuan. Mengapa sarang tebuan yang dijolok?
DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)










