KONVENSYEN Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bertujuan antara lainnya untuk menghapuskan segala jenis diskriminasi perkauman yang mungkin wujud di sesebuah negara. Kebanyakan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah pun menganggotai konvensyen tersebut.
Ketika perhimpunan PBB pada 28 September 2018 baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan antara lainnya seperti berikut:
“Malaysia baharu dengan tegas akan mendukung prinsip-prinsip yang dipromosikan oleh PBB dalam hubungan antarabangsa. Ini termasuk prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, kesaksamaan, tanggungjawab dan akauntabiliti serta kemapanan. Dalam konteks ini, kerajaan baharu Malaysia telah berjanji untuk meratifikasi semua instrumen teras PBB berkaitan dengan perlindungan hak asasi manusia. Ia bukan sesuatu yang mudah bagi kami kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik, berbilang agama, berbilang budaya dan pelbagai bahasa. Ruang dan masa harus diberi kepada semua untuk berbincang dan membuat keputusan secara bebas berdasarkan demokrasi.”
Kerenah Waytha Moorthy
Ekoran daripada itu pada 15 November 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy telah menyatakan di Parlimen bahawa kerajaan akan memulakan proses mengadakan konsultasi bagi mendapatkan pandangan perundangan (legal opinion) baik dari dalam mahupun luar negara serta pandangan intelektual dalam kalangan masyarakat ramai sebelum meratifikasikan ICERD. Konsultasi ini adalah perlu sebelum kerajaan mencatur sebarang keputusan muktamad untuk meratifikasikan ICERD. Tiada sebarang jangka masa yang akan ditetapkan oleh kerajaan bagi tujuan proses konsultasi ini.
Susulan daripada kenyataan ini, ramai pihak telah memberi pandangan mereka, ada yang menyokong dan ada pula yang membantah. Walaupun pihak kerajaan kemudiannya telah membatalkan hasrat untuk meneruskan proses meratifikasikan ICERD, namun kenyataan-kenyataan daripada beberapa pemimpin pihak kerajaan memberi bayangan sebaliknya.
Sebelum perbincangan ini dilanjutkan dengan lebih terperinci, ada baiknya sekiranya peruntukan relevan ICERD dibentangkan di sini.
Artikel 1 Fasal 1 ICERD mentakrifkan racial discrimination atau diskriminasi kaum secara ringkasnya sebagai sebarang bentuk diskriminasi atau keistimewaan terhadap mana-mana kumpulan berdasarkan kaum, termasuklah diskriminasi dalam politik, ekonomi, sosial, budaya atau mana-mana bidang kehidupan awam.
Sekiranya terdapat peruntukan-peruntukan perundangan yang berbentuk diskriminasi perkauman, kerajaan mempunyai obligasi untuk meminda atau membatalkan undang-undang tersebut. Ini terkandung di bawah Artikel 2 Fasal 1 (c) ICERD. Artikel ini memperuntukkan bahawa “setiap negara peserta akan mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk menyemak polisi-polisi kerajaan, negara dan tempatan dan untuk meminda, memansuhkan (rescind) atau membatalkan (nullify) mana-mana undang-undang dan peraturan-peraturan yang mengakibatkan terciptanya atau pengekalan diskriminasi kaum di mana sahaja ia wujud”.
Pinda atau mansuh
Kesimpulannya, jika pihak kerajaan meratifikasikan ICERD, beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri perlu dipinda kerana ia jelas bertentangan dengan peruntukan ICERD. Sebagai contoh, Perkara LI (2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilantik menjadi Menteri Besar melainkan jika beliau berbangsa Melayu dan menganut agama Islam. Sekiranya ICERD diratifikasikan, peruntukan ini harus dipinda atau dimansuhkan sama sekali.
Selain itu, hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan antaranya Perkara 153, Perkara 89 dan Perkara 8(4)(f) perlu dipinda atau dimansuhkan dan segala polisi-polisi kerajaan untuk membantu golongan bumiputera perlu dihentikan atau dibuka kepada semua kaum. Sebagai contoh, Amanah Saham Bumiputera (ASB), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan bermacam-macam keistimewaan lagi harus dibukakan untuk semua kaum atau dimansuhkan sama sekali.
Fahami Artikel 1 Fasal 4
Bagi pihak yang menyokong ICERD, mereka berhujah bahawa ICERD tidak menghalang kaum bumiputera daripada terus menikmati hak-hak keistimewaan tersebut. Mereka merujuk kepada Artikel 1 Fasal 4 ICERD yang memperuntukkan bahawa “Langkah-langkah khas yang diambil dengan tujuan tunggal mencapai kemajuan yang mencukupi bagi kumpulan atau individu kaum atau etnik tertentu yang memerlukan perlindungan sedemikian sebagaimana yang perlu bagi memastikan kumpulan atau individu tersebut dapat menikmati atau melaksanakan hak asasi manusia dan kebebasan asas yang sama tidak akan dianggap sebagai diskriminasi kaum …”
Bagaimanapun, penulis berpendapat bahawa pihak yang berhujah menggunakan artikel ini gagal untuk mengambil kira petikan sambungan kepada Artikel 1 Fasal 4 ICERD yang secara jelas menyatakan bahawa “dengan syarat, bagaimanapun bahawa langkah-langkah tersebut tidak, sebagai akibatnya membawa kepada pengekalan hak-hak berasingan untuk kumpulan kaum berbeza dan bahawa mereka tidak akan diteruskan selepas objektif yang mana mereka telah diambil telah dicapai”. Secara tersiratnya, ini bermaksud sekiranya tujuan sesuatu hak keistimewaan tersebut tercapai, pihak kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memansuhkan hak tersebut.
Selain itu, kedudukan raja-raja Melayu mungkin akan menjadi tanda tanya dengan ICERD. Kontrak sosial yang dimeterai sebelum merdeka mengambil kira kedudukan dan hak istimewa orang Melayu yang bernaung di bawah lindungan sultan-sultan. ICERD kononnya memberi hak sama rata semua kaum. Ini akan mengakibatkan hilangnya keperluan bernaung yang dinyatakan tadi. Sekiranya ini berlaku, tidak mustahil kedudukan raja-raja Melayu akan dipersoalkan.
Kesimpulannya, kesan meratifikasikan ICERD adalah sangat besar kerana bukan sahaja Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara akan terjejas, ia juga akan mengganggu-gugat kontrak sosial negara yang telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum kita merdeka. Sekiranya pihak kerajaan meratifikasikan ICERD, tidak mustahil hubungan antara kaum akan menjadi lebih tegang oleh kerana pastinya akan timbul tuntutan-tuntutan yang sebelum ini tidak pernah timbul.
Perlu diingatkan bahawa ICERD bukanlah suatu jawapan mudah untuk menjamin diskriminasi perkauman terbendung. Sebagai contoh, Amerika Syarikat dan Indonesia merupakan dua negara yang telah meratifikasikan ICERD. Namun, rusuhan serta penindasan perkauman masih berlaku di negara-negara itu secara berleluasa.
Pada hemat penulis, ada baiknya sekiranya kerajaan mengekalkan dan memperbaiki undang-undang dan sistem yang sedia ada di negara ini. Tiada keperluan mendesak untuk pihak kerajaan meratifikasikan ICERD. Peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan sudah cukup untuk memastikan hak semua kaum di negara ini terjamin dengan baik.
DATUK M REZA HASSAN ialah seorang peguam.










