Ibu maut, 2 anak lelaki parah ditetak lelaki Indonesia - Utusan Malaysia

Ibu maut, 2 anak lelaki parah ditetak lelaki Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR 19 Dis. – Seorang wanita berusia 44 tahun maut manakala dua anak lelakinya masing-masing berusia 17 dan 14 tahun parah ditetak dalam kejadian di sebuah kilang pemborong makanan sejuk beku di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang di Kampung Selamat dekat sini itu, ketiga-tiga mangsa iaitu Sia Seok Kee dan dua anaknya, Yong Wei Keong serta Sia Yung Jern ditetak menggunakan parang oleh seorang lelaki Indonesia berusia 30-an yang juga pekerja kilang sama.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, kejadian itu dipercayai berpunca ekoran suspek tidak berpuas hati kerana dikatakan tidak dibayar gaji seperti ditetapkan.

Tambahnya, suspek sudah bekerja di kilang itu yang merupakan milik abang kepada wanita yang dibunuh sejak kira-kira setahun lalu.

“Kesemua mangsa dipercayai diserang dan ditetak di dalam bilik sejuk beku kilang berkenaan berdasarkan penemuan darah di kawasan tersebut.

“Mereka telah dikejarkan ke Hospital Kepala Batas sebaik sahaja kita menerima panggilan kecemasan namun mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan manakala dua anaknya yang parah sedang mendapatkan rawatan lanjut,” katanya  kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, ketika kejadian, terdapat seorang kerani yang sedang bertugas di dalam pejabat kilang tersebut namun tidak dicederakan suspek.

Katanya, siasatan awal juga mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di ruang bilik sejuk kilang berkenaan sebaliknya hanya ditempatkan di pintu masuk utama kilang.

Tambah beliau, polis turut merampas beberapa bahan bukti termasuk kain dan parang yang digunakan suspek untuk siasatan lanjut.

“Selepas menyerang mangsa, suspek bertindak melarikan diri dengan sebuah motosikal berwarna biru dan gerakan memburunya sedang giat dilakukan ketika ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×