JOHOR BAHRU 28 Dis. – Ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki lima tahun yang meninggal dunia dan adiknya yang berusia tiga tahun kini dirawat di hospital, disyaki didera ibu tiri warga Indonesia, membuat laporan polis petang semalam.
Wanita itu membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kira-kira pada pukul 6 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superitenden Mohd. Afzanizam Yahaya mengesahkan perkara itu dan akan memberi maklumat lanjut menerusi kenyataan akhbar.
Kelmarin, kanak-kanak berusia lima tahun itu dibawa ke HSI dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada 1 pagi, polis turut menemukan kesan lebam serta bengkak pada bahagian muka, dada, perut dan kedua-dua betis mangsa.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan objek tumpul di bahagian badan dan susulan daripada itu, bapa dan ibu tiri masing-masing berusia 33 dan 23 tahun direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 2 Januari depan.
Ekoran kejadian itu, polis turut menjalankan pemeriksaan ke atas adik mangsa yang berusia tiga tahun dan pihak hospital menemui kesan parut luka di dahi dan badan mangsa, dipercayai akibat turut didera wanita Indonesia itu.
Mangsa kini ditempatkan di wad khas kanak-kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan lanjut. – UTUSAN ONLINE









