Sekarang ada pihak mempersoalkan tentang khitan. Apakah ada pandangan Islam tentang khitan? Apakah terdapat nas dalam al-Quran tentang amalan khitan ini atau cuma menerusi hadis? – Fadli, Kuala Lumpur
UKE: Disebutkan bahawa amalan berkhatan ini telah dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim AS apabila Allah SWT mewahyukan kepadanya. Bahkan sejak itu, amalan ini diteruskan oleh Nabi Muahammad SAW dengan beberapa cara.
Allah SWT berfirman: “Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah dia daripada orang-orang musyrik.”(Surah al-Nahl:123).
Maka apabila ia dilakukan oleh Rasulullah SAW dan ada dalilnya maka mengapa hari ini ada pula golongan yang mempertikaikan amalan berkhitan ini?
Menurut mazhab Syafie dan Hambali wajib berkhatan manakala mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan sunat.
Dalil pensyariatan khatan kepada perempuan ialah hadis daripada Humaid bin Bilal yang bermaksud: “Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.”
(Sahih Muslim:349).
Cuma harus diingat kaedah berkhatan bagi perempuan itu mesti betul kerana apabila dilakukan oleh orang jahil dan tidak mahir akan merosakkan alat kelamin wanita, Ini dilarang oleh agama.
Rasulullah SAW bersabda dalam riwayat Ummu Attiyah: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.”
Kejahilan dalam cara berkhatan inilah yang menimbulkan polemik sedangkan berkhatan ini adalah untuk kebaikan dari sudut kebersihan dan kesihatan bagi manusia.
Jangan hanya kesilapan dalam cara melakukan khatan sehingga menolak hukum yang termaktub dalam agama.
Bagi pihak yang mempertikaikan khatan sila dapatkan penjelasan daripada pihak agamawan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.
Bagi orang bukan Islam, anda tidak berhak mempertikai amalan dalam Islam kerana orang Islam tidak pernah mempertikaikan amalan anda.
Bagi orang awam kita ada Majlis Fatwa dan kita ada asas serta rujukan maka tidak perlu melayan mana-mana pendapat yang bercanggah dengan syarak.










