Hujan dijangka berterusan hingga esok - Utusan Malaysia

Hujan dijangka berterusan hingga esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Jabatan Meteorologi mengeluarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning bagi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor berikutan hujan lebat yang dijangka berlaku sehingga esok.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini, melaporkan kedudukan palung monsun yang merentasi negara dan pengaruh angin timuran dari Lautan Pasifik Barat menyebabkan keadaan cuaca dijangka bertambah lembab terutama di pantai timur Semenanjung.

Berikutan keadaan itu, hujan di beberapa tempat secara berterusan dijangka berlaku di seluruh Terengganu.

Di Kelantan kawasan terlibat adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang dan Pasir Puteh; Pahang melibatkan Kuantan, Pekan dan Rompin manakala Johor hujan lebat dijangka di Mersing.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman ketika dihubungi berkata, paras air sungai di Terengganu masih terkawal setakat ini walaupun hujan sejak 28 November lalu.

“Dalam tempoh itu, hujan ada kala lebat dan juga renyai tetapi tidaklah secara berterusan.

Berdasarkan makluman daripada Jabatan Pengairan dan Saliran, kesemua sungai utama di Terengganu masih berada pada paras normal. Cuma satu dua sungai di daerah Setiu pada paras berjaga-jaga, belum lagi di paras waspada.

“Setakat ini ketelapan tanah masih berada pada paras normal, namun jika berlaku hujan lebat dan berterusan bagi tempoh dua atau tiga hari lagi, ketelapan tanah akan tepu dan berisiko banjir di kawasan lembah dan berhampiran sungai,” katanya.

Pihak Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu akan terus memantau keadaan semasa dan menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca sekarang. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×