SEREMBAN 18 Dis. – Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun melahirkan rasa hairan dengan laporan mengatakan kepimpinannya ditolak tujuh daripada lapan ketua cabang di negeri ini.
Menteri Besar itu berkata, ini kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dan sentiasa berhubung dengan para pemimpin tersebut.
“Saya tidak tahu dari mana portal berita itu dapat maklumat sedangkan ketua-ketua cabang masih berhubung dengan saya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat itu mengulas laporan sebuah portal berita mendakwa tujuh daripada lapan ketua cabang menulis surat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang pemilihan Aminuddin sebagai Pengerusi PKR negeri.
Dalam surat tersebut, mereka didakwa mengatakan ‘kelemahan pentadbiran’ antara punca mereka menolak kepimpinan Aminuddin.
Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan kepadanya memandangkan pelantikannya dibuat oleh pucuk pimpinan parti.
“Saya menerima amanah yang diberikan dan saya rasa pimpinan parti menaruh kepercayaan kepada saya. Bagaimanapun saya serahkan perkara ini kepada pucuk pimpinan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










