TAMPIN 14 Dis. – Hospital Tampin dekat sini menjadi mangsa terbaharu panggilan ancaman bom palsu, hari ini, selepas kes sama menimpa Hospital Pakar KPJ Seremban pada 27 November lalu.
Dalam kes bermula 5.50 pagi tadi, operator khidmat pelanggan Hospital Tampin menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali mendakwa ada bom di premis pusat perubatan itu.
Ketua Polis daerah, Superintenden Ramli Kasa berkata, polis menerima panggilan daripada hospital berkenaan kira-kira pukul 6.55 pagi sebelum menggerakkan anggota dan mendapatkan bantuan daripada Unit Pengesanan Bom (UPB) dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri serta Unit Kimia Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban 2.
“Saya telah membuat pemeriksaan awal, mendapatkan maklumat dan mengarahkan semua jalan keluar masuk hospital ditutup serta staf dan pesakit di wad bersiap sedia.
“Kira-kira pukul 9.30 pagi, pengesanan di bahagian luar hospital oleh K9 dan di bahagian dalam hospital oleh UPB tidak menemui apa-apa bahan yang mencurigakan dan UPB telah mengesahkan keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pengesanan itu ditamatkan pada pukul 9.50 pagi melibatkan kira-kira 50 pegawai dan anggota polis dan bomba.
Tambahnya, ketika kejadian, terdapat kira-kira 100 pesakit sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Ramli memberitahu, polis telah merakam percakapan para saksi dan mendapatkan maklumat panggilan telefon di hospital berkenaan bagi memburu suspek yang terlibat. – UTUSAN ONLINE











