Hormat keputusan Presiden - Saifuddin - Utusan Malaysia

Hormat keputusan Presiden – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 20 Dis. – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan jawatan pengerusi negeri dibuat selepas Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim merunding dengan ketua-ketua cadang.

Beliau sehubungan itu berkata, semua ahli parti perlu menghormati keputusan tersebut kerana Anwar telah mengikuti perlembagaan parti. 


Beliau berkata, mengikut perlembagaan parti, presiden perlu berunding dengan ketua cabang dalam melantik jawatan pengerusi negeri.


“Sejak kongres dan pemilihan berakhir, Anwar mengambil masa lebih sebulan untuk berunding dengan ketua cabang. Jadi adakah dia sudah berunding? Ya. Dengan semua ketua cabang? Ya. Dari Perlis hingga Sabah? Ya.


“Setelah berunding, perlembagaan mengatakan presiden bolehlah melantik seorang dan beliau telah membuat pelantikan, beliau telah berunding maksudnya,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Program Transformasi Peniaga dan Penyerahan Kenderaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di sini hari ini.


Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna justeru mahu anggota parti di semua peringkat menghormati proses dan keputusan yang dibuat presiden.


“Kalau terus dipertikaikan ia jadi tidak cantik, justeru ia jadi tanggungjawab semua orang untuk menghormati keputusan itu dan tidak timbul masalah malah parti tidak perlu pelan pemulihan dan sebagainya kerana semua (syarat) itu sudah dipenuhi,” katanya.


Isnin lalu, Nurul Izzah Anwar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.


Pada hari yang sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengumumkan secara rasmi meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi PKR Negeri Johor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×