Hingga titisan darah terakhir - Utusan Malaysia

Hingga titisan darah terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIHUJANI peluru dan bom dari setiap arah, hati siapa tidak gentar berhadapan dengan musuh zaman berzaman dalam medan peperangan yang memendam dendam untuk menghapuskan seluruh umat Islam hingga ke akar umbi.

Tiada sebarang jaminan untuk mereka yang berada di kawasan berisiko itu untuk selamat apatah lagi pulang ke pangkuan keluarga. Namun, itu cabaran dihadapi oleh umat Islam di negara bergolak Palestin untuk meneruskan survival generasi akan datang.

Hanya berbekalkan semangat jihad dan keyakinan, segalanya dilakukan oleh rakyat Palestin untuk mempertahankan tanah suci para nabi itu biarpun tanpa kelengkapan setara bagi menentang musuh sehingga ke titisan darah terakhir.

Itu turut dihadapi seorang rakyat Palestin, Momen Faiz dalam mempertahankan tanah airnya menerusi cara tersendiri.

Terkena tembakan sebanyak tiga kali sejak 2008 sehingga mengakibatkan lumpuh kedua-dua kaki bukan penghalang bagi jurugambar sambilan untuk media di Gaza itu agar terus berjuang .

Malah, peristiwa hitam yang berlaku secara berasingan itu menguatkan semangatnya untuk terus berjihad di samping memberi kesedaran terhadap dunia tentang gambaran sebenar yang berlaku menggunakan setiap potret yang dirakam.

Berbekalkan sebuah lensa sebagai senjata dan kerusi roda menggantikan kedua belah kaki, Momen mengetepikan segala risiko walaupun dianggap menempah maut.

“Ini adalah keajaiban, sepatutnya saya sudah mati ditembak. Apatah lagi terkena peluru tentera Israel yang direka khas benar-benar untuk membunuh jika terkena pihak lawan. Peluru yang masuk ke tubuh akan meletup menjadi serpihan kecil mengenai bahagian sekeliling.

“Bagi saya, ini kuasa Allah. Nilai nyawa yang Dia lanjutkan ini akan saya bayar dengan jihad yang tidak pernah putus bagi memperjuangkan keamanan Palestin menggunakan senjata kecil (kamera) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran Jelajah Lensa Pejuang Momen Faiz anjuran Aman Palestin dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini.

Yang turut hadir Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof. Dr. Azizul Halim Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut.

Berkongsi antara detik mendebarkan, Momen pernah berada di tengah-tengah runtuhan bangunan ketika menyertai tunjuk perasaan yang diadakan rakyat Palestin.

“Seperti biasa, ketika itu saya mengikuti perhimpunan yang diadakan untuk merakam sebanyak mungkin gambar. Secara tiba-tiba datang sebutir bom dilancarkan tentera Israel tepat mengenai sebuah bangunan berhampiran tunjuk perasaan diadakan.

“Beberapa saat kemudian datang pula sebutir bom lagi dan mengenai bangunan di sebelahnya. Kedua-dua bangunan itu sedang runtuh dan saya berada di tengah-tengah runtuhan itu. “Allahuakbar! Mungkin ajal aku sudah sampai.

“Ketika itu semua penunjuk perasaan melarikan diri. Saya pula, bagaimana hendak lari dengan keadaan berkerusi roda. Tetapi satu lagi keajaiban, Alhamdulillah saya terselamat dan apabila keadaan stabil saya melihat sekeliling penuh batuan dan marmar kesan runtuhan,” ujarnya.

Minat mendalam

MEMIKIRKAN keadaan dan kemampuan diri, Momen berkata, sudah lama dia mahu berhenti mengambil gambar, namun kerana minat mendalam dan rasa tanggungjawab untuk berkongsi foto tersebut membuatkan dia terus tabah.

“Saya memang sangat minat mengambil gambar. Sejak usia 12 tahun lagi saya sudah mengambil gambar untuk majalah-majalah Palestin sebelum mula mendapat perhatian media antarabangsa.

“Bermula sekadar hobi dan koleksi peribadi, saya nekad untuk terlibat aktif dalam fotografi apabila kurang berpuas hati dengan gambar-gambar dipaparkan media tempatan dalam peristiwa Intifada, Palestin 1987 berbanding foto daripada media Barat dan antarabangsa.

“Semua imej yang dipaparkan tidak menunjukkan gambaran sebenar, sebaliknya memaparkan imej negatif terhadap rakyat Palestin sedangkan hakikat yang berlaku sebaliknya. Sejak itu saya menanam keinginan mendalam untuk membetulkan pandangan dunia,” katanya.

Tidak seperti di Malaysia, memiliki sebuah kamera ibarat melakukan kesalahan di Gaza kerana menyimpan barang terlarang.

Bagi Momen Faiz, dia menunggu hampir lima tahun untuk memiliki kamera sendiri yang dibawa masuk dari Mesir.

“Saya lihat di Malaysia, kamera sangat mudah didapati, di kaki lima dan tepi jalan pun orang jual bebas. Tetapi di Gaza, kamera disekat masuk. Teknologi sangat terhad.

“Penduduk terpaksa menyeludupnya dari luar dan belum tentu selamat. Saya sendiri terpaksa menunggu lama untuk mengumpul duit dan mendapatkan kamera ini. Menggunakan kamera ini saya akan berkongsi gambar dengan seramai mungkin masyarakat dunia,” katanya.

Disekat ke luar negara

MEMENDAM keinginan sejak lama, pelbagai cabaran dihadapi Momen untuk berkongsi potret penderitaan rakyat Palestin yang diambil lebih 10 tahun lalu bagi memperbetulkan persepsi serong masyarakat dunia terhadap situasi sebenar di negara itu.

Ini kerana katanya, setiap kali cubaan ke luar negara akan disekat oleh pihak berkuasa tempatan dengan pelbagai alasan yang akhirnya membuatkan dia terpaksa membatalkan hasrat tersebut.

“Saya pernah diaturkan untuk membuat pameran di Itali, bagaimanapun ditunda beberapa kali dan akhirnya terpaksa dibatalkan. Bagaimanapun saya tidak pernah putus asa.

“Begitu juga ketika ingin datang ke Malaysia tempoh hari, saya ditahan selama lapan hari di Lapangan terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir dan terpaksa menukar laluan melalui Turki sebelum ke Malaysia,” ujarnya penuh semangat.

Momen berkata, dia memilih Malaysia sebagai destinasi pameran sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan keprihatinan rakyat negara ini dalam menghulurkan bantuan yang tidak pernah putus kepada tanah airnya Palestin.

“Walaupun terletak jauh, tetapi Malaysia sangat dekat dengan rakyat Palestin. Malaysia juga ibarat bahu yang menjadi sandaran ketika kami dalam kesusahan.

“Ketika rakyat Palestin diserang bertubi-tubi, Malaysia adalah negara pertama yang ke hadapan mempertahankan kami dan datang menghulurkan bantuan. Diharap pertemuan ini dapat memperkukuhkan lagi semangat setia kawan antara Palestin dan Malaysia,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×