Himpunan tuntut keadilan buat Adib, desak pecat Waytha Moorthy - Utusan Malaysia

Himpunan tuntut keadilan buat Adib, desak pecat Waytha Moorthy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 22 Dis. – Himpunan #KeadilanBuatAdib di Padang Ipoh hari ini menggesa orang Melayu dan Islam untuk bangkit menuntut kerajaan mengheret dalang sebenar yang mengorbankan nyawa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim ketika bertugas dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Malahan, rata-ratanya juga mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy supaya dipecat selepas dilihat gagal memainkan peranan dalam menjaga perpaduan masyarakat di negara ini.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, gerakannya akan terus mendesak kerajaan supaya menangkap pemaju dan peguam kepada syarikat pemaju, berhubung kes tersebut.

Beliau mendakwa, perkara itu berikutan kedua-dua pihak itu telah membayar gangster untuk melakukan huru-hara serta mengaturkan pergaduhan memandangkan ia adalah fakta penting dilaporkan dalam media selain dikeluarkan oleh pihak polis.

“Kita sudah tahu ada orang yang tukang bayar dan kita tahu ada orang atur perkara ini. Kenapa sehingga hari ini, mereka masih terlepas sedangkan Muhammad Adib telah terbunuh dalam kes ini?

“Kita juga telah menghantar memorandum dan desak agar dipecat menteri ini (Waytha Moorthy). Andai Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak mahu ambil sebarang tindakan, selepas ini, tidak pula malu untuk saya dan orang-orang Melayu Islam, bangkit pecat Tun Mahathir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam himpunan tersebut yang disertai lebih 50 orang dan turut dihadiri bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hamidah Osman. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN