KANGAR 3 Dis. – Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menyeru seluruh umat Islam di negara ini supaya turun beramai-ramai menyertai perhimpunan aman meraikan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.

Beliau berkata, himpunan tersebut perlu bagi menunjukkan kepada mana-mana pihak supaya tidak sesekali cuba mengusik hak keistimewaan serta soal berkaitan akidah orang Melayu dan Islam.
Katanya, orang Melayu selama ini sudah cukup baik terhadap bangsa lain dan sentiasa menghormati budaya dan agama mereka.
“Sekali lagi saya seru rakyat supaya hadir beramai-ramai kita berhimpun secara aman bagi memberi mesej kepada mereka yang cuba menggangu-gugat hak keistimewaan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Himpunan Aman Rakyat Perlis Tolak ICERD di Kompleks Pas di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli; barisan kepemimpinan UMNO dan Pas negeri serta lebih 1,000 penyokong daripada kedua-dua parti.
Sementara itu, Hashim turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap pemimpin Melayu dari Pakatan Harapan yang tidak menampakkan usaha untuk membantu apabila Islam diserang.- UTUSAN ONLINE










