KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri dari Marang, Terengganu sanggup menaiki bas ke ibu negara untuk menyertai himpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hari ini.
Suri rumah, Asiah Harun, 55, berkata, dia dan suaminya, Mamat Jambol, 57, bertolak dari rumah mereka bersama anak lelaki kira-kira pukul 11 malam semalam.
“Kami sampai pada pukul 4.30 pagi tadi dan berehat dahulu di dalam bas sebelum himpunan bermula.
“Kami turun untuk menyertai himpunan ini bagi menzahirkan perasaan tidak setuju kerana walaupun ratifikasi ICERD sudah dibatalkan, namun masih ada pihak dalam kerajaan masa kini yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Mereka sekeluarga tidak bermalam di bandar ini sebaliknya akan pulang ke Marang setelah selesai himpunan itu.
Asiah menambah, pihaknya mengetahui tentang himpunan tersebut melalui laman media sosial dan juga ceramah di sekitar kawasan tempat tinggal.
“Saya tiada masalah untuk menyertai himpunan seperti ini kerana kita sayangkan Malaysia dan agama Islam dan tidak mahu ada pihak yang cuba merosakkannya.
“Semoga himpunan ini akan memberi kesedaran kepada kerajaan untuk mendengar suara rakyat yang menentang ratifikasi ICERD,” ujarnya. – K! ONLINE










