KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga sebarang kemungkinan berlaku pada perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang berlangsung hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, peserta perhimpunan dinasihatkan tidak mencetuskan sebarang provokasi pada perhimpunan petang ini.
“Kita akan mengawal dan memantau sehingga pagi esok bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Pihak polis mempunyai pegawai dan anggota yang mencukupi untuk mengawal keadaan sekiranya timbul sesuatu perkara yang mengugatkan ketenteraman negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Berkhitan Perdana Polis Diraja Malaysia 2018 di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.
Tambah Fuzi, pemantauan yang dibuat pihak polis sejak semalam mendapati jumlah peserta ICERD sudah mencecah 5,000 sejak pagi tadi dan jumlah itu dijangka meningkat pada sebelah petang.
Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan enam laluan utama di sekitar ibu kota akan ditutup bagi perhimpunan ICERD.
Enam laluan itu melibatkan Jalan Sultan Hishamuddin, Lebuh Pasar, Jalan Tun Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut Dan Bulatan Dato Onn. – K! ONLINE










