KUALA LUMPUR – Peserta perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) telah berkumpul di hadapan pusat beli-belah Sogo dan kawasan sekitarnya.
Lautan manusia berbaju putih itu mula memenuhi kawasan tersebut kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Kelihatan keluarga bersama anak-anak mereka turut menyertai himpunan dengan memakai baju berwarna putih yang tertera ‘Bantah ICERD’.
Laungan ‘Allahuakbar’ juga memenuhi sekitar kawasan tersebut yang memuatkan kira-kira 5,000 peserta himpunan.
Kira-kira pukul 1.15 petang, peserta himpunan menunaikan solat fardu Zuhur beramai-ramai di hadapan pusat beli-belah berkenaan.
Turut kelihatan mengimamkan solat jemaah tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.
Difahamkan mereka akan berarak secara beramai-ramai ke Dataran Merdeka selepas selesai solat berjemaah. – K! ONLINE










