PASIR MAS 30 Dis. – Wajah Nor Zahri Muhammad, 38, kelihatan begitu tenang sebaik sahaja melihat dua jenazah anaknya yang lemas di Sungai Pasir Perah, Kampung Hujung Galok, Chetok tiba di Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), Lati, di sini malam tadi.
Walaupun pahit untuk ditelan namun bapa kepada enam cahaya mata itu tenang menerima suratan takdir kehilangan dua anak tercinta Muhammad Zulfitri, 11, dan Nur Afifah, 8, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam itu.
Nor Zahri berkata, dia reda dengan kejadian tersebut dan menyifatkan sebagai satu ujian besar yang perlu diharungi bersama dengan isteri, Sharmila Sutirman, 38, selepas kehilangan dua anak secara serentak.
“Ketika kejadian saya berada di rumah yang terletak kira-kira 1 kilometer dari kawasan berkenaan bersama anak bongsu, Nur Aryana, setahun.
“Kesemua lima anak saya itu pergi ke lokasi kejadian bersama ibu mereka selepas waktu asar untuk mandi dan berkelah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nor Zahri memberitahu, dia dan keluarganya sering kali pergi ke lokasi kejadian untuk mandi-mandi serta beriadah dan kawasan tersebut sering menjadi tumpuan penduduk setempat.
Katanya, bagaimanapun kedua-dua anaknya itu mandi di tempat lain selepas kawasan sebelum ini sudah ditimbus untuk dijadikan sebagai laluan bagi kerja-kerja mengangkut pasir.
“Mungkin disebabkan oleh faktor ‘terleka pandang’ Muhammad Zulfitri dan Nur Afifah telah lemas. Kejadian ini disedari isteri, selepas melihat kelibat Muhammad Zulfitri sudah kelihatan tenggelam timbul,” katanya.
Katanya, dua hari sebelum kejadian dia membawa anaknya itu ke kawasan berkenaan untuk menghirup udara segar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd. Nazri Ab. Wahab berkata, mayat Muhammad Zulfitri ditemukan terdampar di dasar sungai, tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang pada pukul 9.55 malam tadi dan adiknya ditemukan kira-kira lima minit kemudian di kawasan berhampiran.










