Heret 'perompak' Tabung Haji ke muka pengadilan - Utusan Malaysia

Heret ‘perompak’ Tabung Haji ke muka pengadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Pihak pengurusan yang ‘merompak’ Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan tindakan segera perlu diambil.

Saranan itu disuarakan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap pengurusan institusi itu yang telah merosakkan dan mengkhianati amanah.

Katanya yang juga Presiden PKR, dalam hal ini bukan salah institusi atau penabung, tetapi pihak pengurusannya yang menyalahgunakan kuasa.

“Bukan salah institusi, bukan salah penabung,tetapi pengurusannya yang menyalahgunakan kuasa, merompak harta rakyat.

“Diharap tindakan diambil secara tegas dan kita dapat menyelamatkan semula Tabung Haji yang merupakan satu institusi penting dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Simposium Tahunan Kewangan Islam kali keempat di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Bank Dunia untuk Malaysia, Dr. Firas Raad dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Datuk Dr. Azmi Omar.

Beliau mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof mengenai Tabung Haji didakwa telah mengeluarkan hibah atau dividen bercanggahan dengan Akta Tabung Haji 1995 sejak 2014.

Kata Mujahid, Seksyen 22 (3a) akta berkenaan menyebut hibah tidak boleh diberikan apabila nilai aset lebih rendah daripada liabiliti, dan Tabung Haji perlu menerbitkan keuntungan dalam tahun tersebut.

Katanya lagi, perkara tersebut adalah suatu kesalahan dan tindakan akan diambil kepada barisan kepemimpinan Tabung Haji terdahulu.

Laporan kewangan Tabung Haji berakhir 31 Disember 2017 hasil audit firma bebas, PriceWaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan aset Tabung Haji adalah RM70.3 bilion, manakala liabiliti RM74.4 bilion, maka, wujud defisit RM4.1 bilion. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN