Hentikan usaha terdesak daftar ahli Bersatu di Tawau - Utusan Malaysia

Hentikan usaha terdesak daftar ahli Bersatu di Tawau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Dis. – UMNO Sabah hari ini memberi peringatan kepada bekas pemimpinnya agar menghentikan segera usaha terdesak untuk mendaftarkan ahli parti itu sebagai ahli baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bahagian Tawau.

Naib Ketua Pemuda UMNO negeri itu, Ghazalie Ansing berkata, usaha mendaftarkan ahli UMNO di kawasan tersebut tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka dipercayai sebagai usaha memujuk parti Bersatu untuk bertapak di Sabah.

“Ingin saya tegaskan, UMNO Tawau tidak sama sekali terbubar malah hanya dalam proses penstrukturan semula jawatankuasa terutamanya jawatan lantikan oleh bekas ketua bahagian.

“Saya menyeru semua ahli parti agar tidak terpedaya dengan hasutan bekas pemimpin yang kononnya mendakwa UMNO akan diharamkan. Sedangkan, mereka amat terdesak untuk mendaftarkan ahli baharu sebagai alat pujuk rayu mereka kepada pimpinan tertinggi Bersatu untuk bertapak di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai aktiviti pengedaran borang Bersatu yang kian rancak dijalankan di bahagian Tawau dengan alasan UMNO telah terbubar di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Ghazalie yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tawau berkata, UMNO negeri ini dalam proses pembersihan semula jadi kerana pemimpin yang menggunakan parti sebagai alat memperkaya diri sendiri sudah keluar daripada parti.

“Semoga UMNO Sabah akan terus utuh dan kukuh sebagai wadah perjuangan bumiputera di negeri ini,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN