KOTA BHARU 24 Dis. – Semua pihak termasuk di peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diminta menghentikan segera sentimen politik dalam pengagihan bantuan dan input pertanian kepada golongan petani.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman berkata, pihaknya mendapati masih lagi terdapat kes-kes pihak yang layak tidak mendapat sumbangan dan subsidi pertanian disebabkan perbezaan idealogi politik.
Beliau berkata, LPP tidak mengamalkan sikap memilih bulu dan mahu perkara ini turut menjadi amalan di kesemua 279 PPK seluruh negara.
“Kita tidak nafi ada kes-kes di bawah sana masih lagi terbawa-bawa dengan sentimen, sebab itu saya minta hal-hal seperti ini dapat ditamatkan serta merta kerana ia menjejaskan proses pembangunan di sesuatu tempat.
“Peladang yang layak akan tercicir daripada mendapat bantuan dan apa juga subsidi yang disalurkan, kita tidak mahu perkara ini terjadi sedangkan kita di peringkat ibu pejabat tidak memilih bulu,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat di pejabat LPP negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Pengarah LPP negeri, Noorzaini Muhammad Zain.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, negeri ini akan turut terlibat dalam projek penanaman nenas jenis millie dillard 2 (MD2) bagi memastikan golongan peneroka dan petani mendapat sumber pendapatan sampingan lebih-lebih lagi pada saat kejatuhan harga komoditi.
Beliau berkata, LPP bersama Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (Mardi) telah diamanahkan oleh kerajaan sebagai pelaksana projek tanaman jangka pendek di seluruh negara yang boleh memberikan hasil kurang daripada setahun.
“Kita sudah mulakan kolaborasi di Felda Sungai Tengi di Hulu Selangor manakala di Kelantan kita sudah kenal pasti beberapa tempat seperti Rantau Panjang dan Tanah Merah.
“Ada tempat yang sudah pun bermula dan bukan sahaja melibatkan tanaman nenas tetapi juga pisang, betik dan jagung,” katanya. – UTUSAN ONLINE










