JOHOR BAHRU 2 Dis. – Perbuatan mendiskriminasikan penghidap HIV/AIDs yang bekerja dan telah mendapat rawatan harus dihentikan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, ini kerana pesakit tersebut tidak memberi ancaman jangkitan kepada mereka yang berada di sekelilingnya.
“Dalam apa juga keadaan, pesakit HIV yang positif namun telah mendapatkan rawatan secara teknikal tidak memberi ancaman jangkitan kepada mereka yang lain.
“Jadi kita berharap perbuatan mendiskriminasikan mereka dihentikan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Kebangsaan 2008 di Kilang Bateri, Tampoi di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz.
Menurut Boon Chye, pada masa sama pihak kementerian menyokong usaha dilakukan Majlis Aids Malaysia (MAC) dalam memastikan penghidap HIV/AIDs yang bekerja dan telah mendapat rawatan, tidak didiskriminasikan oleh rakan sekerja mereka.
Pada 21 Nov lalu, Menteri Sumber, M. Kula Segaran berkata, kerajaan ada cadangan untuk mewujudkan dasar berhubung larangan diskriminasi itu agar golongan yang berkenaan tidak tertindas dalam sektor pekerjaan.
Menurutnya, setakat ini, Malaysia, tidak mempunyai undang-undang berkaitan perkara itu. – UTUSAN ONLINE










