SEPANG 13 Dis. – BIARKAN sahaja Malaysia dan Singapura berunding mengenai isu tatacara baharu Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar memandangkan pakar teknikal kedua-dua negara akan bertemu pada Januari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berrkata, Malaysia telah menyatakan sebab-sebab dan tampil dengan sebuah video bagi menjelaskan kedudukannya, yang dianggap sebagai ‘‘amat jelas’’.
‘‘Saya rasa cukuplah dengan apa yang diperkatakan mengenai isu ini. Biarlah kedua-dua pihak duduk berbincang,’’ katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kemudahan Happy Guest, Caring Hosts Service Culture dan Senior Citizen and Family-Friendly di KLIA2 di sini hari ini.
Malaysia membantah terhadap protokol pendekatan landasan ILS yang baharu oleh Singapura di Lapangan Terbang Seletar, yang didapati menceroboh ruang udara Malaysia, yang akan dilaksanakan pada 3 Januari ini.
Tatacara ILS merujuk kepada satu bantuan kemudahan navigasi penerbangan di lapangan terbang yang menyediakan panduan vertikal dan horizontal kepada juruterbang ketika pesawat berlepas dan mendarat di landasan.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan semalam berpandangan, langkah unilateral Singapura untuk menyiarkan tatacara baharu ILS bagi Lapangan Terbang Seletar dalam Aeronautical Information Publication (AIP) adalah jelas satu pencabulan kedaulatan dan standard antarabangsa Malaysia.
Kementerian itu juga mengulangi bahawa tidak pernah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sama ada setuju atau memberi kelulusannya bagi penyiaran tatacara ILS yang baharu itu bagi Lapangan Terbang Seletar.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa ketegangan antara Malaysia dan Singapura boleh dielakkan dengan melaksanakan tatacara ILS yang baharu bagi Landasan 03 di sebelah selatan Lapangan Terbang Seletar dan bukan di Landasan 21 di sebelah utara yang mendapat bantahan.
Namun, Kementerian Pengangkutan Singapura berkata, adalah perlu meletakkan tatacara prosedur penerbangan bagi kedua-dua bahagian utara dan selatan sebelum menghampiri Lapangan Terbang Seletar kerana ‘‘prosedur penerbangan bagi kedua-dua arah adalah perlu kerana pesawat berlepas dan mendarat mengikut angin’’. –BERNAMA











