Hazwani bantu mudahkan urusan sistem perakaunan - Utusan Malaysia

Hazwani bantu mudahkan urusan sistem perakaunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula dengan membantu rakan bekas majikannya tentang sistem akaun secara percuma, khidmat Hazwani Abd. Hamid menjadi buah mulut dalam kalangan kakitangan lain yang kemudian turut mendapatkan khidmatnya.

Bukan kerana perkhidmatan percuma namun kerana kejujurannya memberi bimbingan secara terperinci sekali gus memudahkan kefahaman mereka tentang bidang pengurusan akaun yang lazimnya menimbulkan kekeliruan dan permasalahan, malah dibuat sambil lewa oleh pihak pengurusan syarikat terutama yang baharu memulakan perniagaan.

Bekas graduan jurusan perakaunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menegaskan, akibat sikap acuh tidak acuh itu, banyak syarikat yang menerima ‘surat cinta’ daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana tidak menyediakan dokumen tentang perniagaan mereka malah ada yang terpaksa menutup operasi.

“Kebanyakan syarikat kecil yang bergelar enterprise menganggap mereka tidak perlu menyediakan dokumen atau membuat filing. Semuanya ini berpunca daripada sikap pemilik syarikat kecil ini yang menganggapnya tidak penting namun bila sudah dapat `surat cinta’ ini barulah mereka tahu pentingnya pengurusan dokumen ini,’’ katanya, baru-baru ini.

Menyedari sejumlah besar usahawan kecil-kecilan ini tidak memahami pengurusan akaun atau kewangan, Hazwani, 36, melangkah lebih jauh dengan membuka syarikat Amani Management Services Sdn. Bhd. untuk memberi perkhidmatan latihan pengurusan perniagaan kepada pemilik syarikat atau kakitangannya mereka.

Namun fasa permulaan bagi ibu kepada seorang anak perempuan ini untuk membuka syarikat bukan berlaku sekelip mata sebaliknya dia terpaksa melakukannya secara bersendirian.

“Semuanya bermula selepas bekas majikan saya mengalami masalah dalam perniagaan sehinggakan tidak mampu membayar gaji saya namun saya terus berkhidmat di syarikat itu kerana menghargai sikap tolak ansur majikan terhadap saya,’’ katanya.

Menurut Hazwani, bekas majikannya turut memberi sokongan kepadanya untuk bekerja secara sambilan memberi perkhidmatan latihan pengurusan kewangan kepada mereka yang berminat.

Akhirnya pada 2010 dia meletak jawatan di syarikat hiasan dalaman itu dan membuka syarikat sendiri namun tanpa pejabat. Operasi tertumpu di rumah ataupun bertemu pelanggan di restoran makanan segera.

“Ketika itu saya memang bergelut untuk mendapatkan pelanggan apatah lagi mendapat pendapatan namun saya tahu rezeki Allah SWT itu luas, yang penting saya perlu berusaha. Berbekalkan pengalaman, saya bermula dengan bertanya kepada rakan-rakan sama ada mereka berminat untuk belajar tentang pengendalian akaun syarikat secara mudah.’’

“Segalanya dipermudahkan oleh Allah. Dalam tempoh dua bulan tanpa sebarang pendekatan pemasaran yang luas di samping pertolongan sahabat-sahabat lain yang kemudian membawa rakan mereka untuk mengikuti bimbingan saya maka saya dapat membuka kelas latihan kepada mereka yang memerlukan,’’ katanya.

Ujar Hazwani, hasil maklum balas yang diterima daripada pelanggan menyatakan mereka berpuas hati dengan teknik pengajaran yang mudah difahami berbanding kelas-kelas yang pernah mereka ikuti sebelum ini.

Lebih menarik lagi, Hazwani tidak menetap yuran yang tinggi kepada pelanggannya sebaliknya hanya RM20 bagi kelas simulasi filing yang mengambil masa selama tiga jam selain beberapa kursus lain seperti asas perniagaan yang kesemuanya diajar langkah demi langkah untuk memudahkan pelanggan mengaplikasikannya di tempat kerja masing-masing.

Selepas tiga tahun menyewa sebuah bilik sebagai pejabat operasi kini Amani Management Services berpindah ke sebuah pejabat yang lebih luas di sebuah bangunan di Taman Dutamas, Cheras. Justeru, daripada lima orang yang mengikuti kelas bimbingannya, sekarang Hazwani mampu memberi bimbingan kepada 30 individu dalam satu-satu masa.

Hazwani sebagai jurulatih utama syarikat Amani kini dibantu oleh suaminya, Muhammad Al-Amin Abdullah, 33, yang sanggup melepaskan jawatan di sebuah syarikat telekomunikasi dua tahun lalu dengan bertindak sebagai Pengarah Urusan syarikat itu selain dibantu oleh empat kakitangan lain, iaitu Muhammad Haziq, Muhammad Syafuan, Siti Shaidatul Akma dan Anisah.

Kata wanita ini, pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada kakitangan syarikat di kawasan Lembah Klang malah ada yang dihantar sendiri oleh majikan dari Johor selain usahawan-usahawan daripada pelbagai peringkat umur.

“Saya mempunyai pelanggan iaitu pelajar perempuan berusia 16 tahun yang menjalankan perniagaan tudung secara dalam talian sehinggalah paling senior berusia 45 tahun namun ada juga majikan yang menghantar kakitangannya termasuk sebuah syarikat yang menghantar seorang penghantar surat untuk mengikuti kelas latihan pengurusan perniagaan,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×