Hawa panas ‘bakar’ Australia - Utusan Malaysia

Hawa panas ‘bakar’ Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY – Seramai tujuh orang lemas ketika gelombang panas melanda Australia, mengakibatkan orang ramai menyerbu pantai dan kolam renang untuk menyejukkan badan, sementara ribut tropika di utara negara itu diramal menambah kekuatan menjadi siklon pada hari tahun baru.

Sebanyak lima kematian akibat lemas dicatatkan di negeri Victoria antara 25 Disember lalu dan kelmarin.

Seorang warga Korea Selatan turut lemas pada Hari Krismas ketika berada di sebuah tasik di New South Wales, sementara seorang lagi mati ketika meluncur ombak di Queensland.

Suhu dari barat Australia hingga tengah negara itu melepasi ang­ka 40 darjah Celsius pada hari ketujuh berturut-turut kelmarin termasuk bandar-bandar pesisir pantai, manakala biro kaji cuaca meramalkan suhu panas melampau akan berterusan selepas malam tahun baru.

“Dalam masa beberapa hari akan datang, suhu panas akan tertumpu di kawasan pedalaman sahaja tetapi akan merebak semula menjelang Rabu ini,” kata pegawai kaji cuaca Biro Meteorologi, Jonathan How.

Biro berkenaan mengeluarkan amaran gelombang panas ekstrem terhadap sebilangan kawasan termasuk bandar paling ramai penduduk di Australia, Sydney tetapi bandar pesisir pantai seperti Hobart, Adelaide dan Melbourne disejukkan oleh bayu laut.

Bahang panas kali ini memecahkan rekod pada Khamis lalu di Marble Bar, rantau Pilbara, barat Australia dengan bacaan suhu 49.3 Celsius, tertinggi sejak stesen cuaca dibuka di lokasi tersebut pada tahun 1999. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN