Hashim tidak pernah bermimpi berada sepentas bersama Shahidan - Utusan Malaysia

Hashim tidak pernah bermimpi berada sepentas bersama Shahidan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 3 Dis. – Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin ketika berucap pada Himpunan Aman Rakyat Perlis Tolak ICERD di Kompleks Pas di sini malam tadi, memaklumkan bahawa beliau sama sekali tidak pernah menyangka akan berada sepentas bersama bekas seteru politiknya, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Namun atas kehendak Allah, kata Hashim, individu yang pernah menjadi musuh selama ini akhirnya dapat mengenepikan segala perbezaan serta persengketaan untuk bersatu demi kepentingan agama Islam dan Melayu.

Hashim dan Shahidan yang juga Ketua Penerangan UMNO Perlis adalah dua tokoh politik berpengaruh di negeri ini yang menjadi seteru dan beberapa kali pernah bertembung dalam pilihan raya umum.

“Dari kecil sehingga umur sekarang sudah memasuki hampir 80 tahun, saya tidak pernah bermimpi berada satu pentas bersama Shahidan. Kerana cara politik di Perlis ketika itu, tidak nampak jalan ke arah kita duduk bersama (Pas dan UMNO).

“Pentas ini (Kompleks Pas Perlis) sudah berpuluh kali diadakan majlis yang dihadiri pemimpin Pas yang kini ada sudah beralih arah (menyertai Amanah) namun tidak pernah pemimpin UMNO berada di sini.

“Ini kerja Allah, siapa jangka mereka yang jadi musuh ketat kembali bersama di atas pentas yang sama di sini,” katanya.

Yang turut hadir pada himpunan itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman; Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli; barisan kepemimpinan UMNO dan Pas negeri serta lebih 1,000 penyokong kedua-dua parti.

Sebelum itu, Shahidan ketika berucap turut mengakui bahawa beliau pertama kali berada di pentas Kompleks Pas Perlis itu dan bersyukur kerana isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) telah menyatukan UMNO dan Pas.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN