KUALA LUMPUR – Harapan skuad Harimau Malaya untuk meraih bekalan berharga tidak kesampaian apabila seri 0-0 dengan Thailand dalam saingan separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Membariskan kesebelasan yang sama ketika menewaskan Myanmar minggu lalu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe dilihat mempamerkan aksi menyerang yang luar biasa dengan mendominasi sebahagian besar babak pertama.
Pada perlawanan tersebut, penyerang lincah negara, Safawi Rasid terlebih dahulu melakukan rembatan seawal minit ke-3 dan ke-5 tetapi percubaannya sedikit tersasar.
Safawi yang diiktiraf sebagai pemain paling bernilai Liga Malaysia (Liga M) 2018 meraih peluang terbaik pada minit ke-20 tetapi gagal menyudahkan hantaran Mohamadou Sumareh dengan kemas.
Peluang terbaik negara hadir pada minit ke-26 hasil serangan balas pantas tetapi percubaan Sumareh yang hanya berdepan dengan penjaga gol Thailand, Chatchai Bootprom juga tersasar.
Skuad Gajah Perang hanya meraih satu peluang keemasan menerusi percubaan Nurul Sriyankem tetapi rembatannya dihalang oleh tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd. Radzak untuk memastikan kedua-dua pasukan terikat pada babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, momentum skuad negara tidak sepantas babak pertama terutama selepas Sumareh dikeluarkan untuk digantikan dengan Ahmad Hazwan Bakri.
Namun, Harimau Malaya masih mampu menghasilkan gerakan cantik pada minit ke-66 tetapi hantaran satu-dua melibatkan Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Adha Abd. Radzak gagal disudahkan oleh penyerang pasukan Pahang itu.
Keputusan berakhir dengan seri tanpa jaringan sekali gus menyukarkan misi Harimau Malaya memandangkan mereka akan berkunjung di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Rabu ini.
Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara bertemu dengan Thailand adalah ketika tewas di pentas final edisi 2014 dengan keputusan agregat 3-4.
Skuad negara pernah menjuarai trofi Piala AFF Suzuki hanya sekali iaitu pada edisi 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal selepas menewaskan indonesia 3-2 di pentas akhir. – K! ONLINE











