KUALA LUMPUR 1 Dis. – Cabaran getir menanti Malaysia apabila bertandang ke Bangkok, Rabu ini bersama bekalan ‘rapuh’ selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan juara lima kali, Thailand dalam separuh akhir pertama Piala AFF, hari ini.
Anak-anak buah Tan Cheng Hoe berjaya menyerap sorakan padu 87,500 yang membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan melancarkan serangan bertali arus ke gawang lawan, malangnya ia gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Begitupun, Harimau Malaya berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah kepada Thailand di laman sendiri sejak 1971 dan hanya perlu seri di tempat lawan minggu depan untuk mencari tiket ke perlawanan akhir.
Biarpun menentang pasukan ke-118 dunia, Malaysia yang menghuni ranking ke-167 membuktikan mereka mampu bermain baik apabila mempamer corak permainan menarik dengan banyak melakukan hantaran pendek yang mengelirukan lawan.
Harimau Malaya juga beberapa kali mengancam kubu lawan, namun ketiadaan penyudah menyebabkan mereka gagal membolosi gawang skuad Gajah Perang.
Thailand yang sebelum ini menegaskan mereka tidak gentar beraksi di hadapan penyokong Harimau Malaya bagaimanapun jelas tertekan dan lebih banyak bertahan, malah anak-anak buah Milovan Rajevac hanya sesekali melakukan serangan balas.
Malaysia berpeluang menembusi gawang Thailand, namun dua hantaran lintang Safawi Rasid pada minit ke-17 dan 19 tidak disambut rakan sepasukannya.
Pasukan negara turut mendapat peluang terbaik pada minit ke-26, namun rembatan Mohamadou Sumareh tidak menemui sasaran selepas menerima hantaran daripada kapten, Zaquan Adha Abd. Razak.
Malaysia yang mendominasi permainan sekali lagi memperoleh peluang terbaik menerusi pertahanan, Aidil Zafuan Abd. Razak pada minit ke-33, namun rembatannya melewati palang.
Kali terakhir Malaysia tumpas kepada Thailand di laman sendiri adalah dalam saingan Kumpulan A Pestabola Merdeka di Stadium Merdeka menerusi keputusan 0-2 pada 14 Ogos 1971.










