KUANTAN – Kebimbangan penduduk Kampung Teluk Gunung, Merapoh di Lipis mengenai kehadiran dua ekor harimau belang dewasa yang berkeliaran sejak sebulan lalu tiba di kemuncaknya apabila haiwan ganas itu mula membaham seekor lembu ternakan semalam.
Bangkai lembu separuh badan dengan kesan koyakan pada daging itu ditemui di sebuah ladang kelapa sawit milik salah seorang penduduk pada pukul 11.30 pagi iaitu kira-kira 1 kilometer dari kawasan perkampungan.
Seorang penduduk, Mohd. Zuki Daud, 50, berkata, ia merupakan kes pertama yang dikesan berlaku di kampung yang didiami kira-kira 100 penduduk itu dan ia ternyata mengundang rasa resah mereka.
Dakwanya, bangkai lembu itu ditemui di ladang kelapa sawit milik anaknya. Kampung itu terletak berdekatan Kampung Orang Asli, Becah Kelubi.
“Beberapa penduduk mula mengesan kehadiran dua ekor harimau sepanjang kira-kira 3 meter berkenaan sejak sebulan lalu, namun ia tidak mengancam penduduk yang keluar bekerja di ladang sehinggalah kami dikejutkan dengan penemuan bangkai lembu yang mati akibat dibaham haiwan ganas berkenaan.
“Anak saya ternak 20 ekor lembu di sekitar ladang berkenaan dan kejadian itu telah menyebabkan semua penduduk kini berasa bimbang mengenai keselamatan ternakan dan diri mereka sendiri,” dakwanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, penduduk tidak mengetahui dari mana serta bagaimana haiwan tersebut boleh berada di situ.
“Sehubungan itu, penduduk meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara segera menangkap harimau berkenaan kerana kejadian itu menakutkan kami untuk keluar mencari rezeki dan melakukan aktiviti harian,” katanya.










