PUTRAJAYA – Harga runcit produk petroleum termasuk RON95 dijangka turun mulai 1 Januari depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan juga akan dilaksanakan pada tarikh sama.
Menurutnya, kaedah penetapan harga secara bulanan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM) akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit mingguan dalam keadaan harga minyak dunia menurun.
“Kaedah ini bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerajaan bersedia menukarkan asas penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia ketika ini.
“Kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari depan memandangkan penetapan harga jualan runcit produk petroleum adalah secara bulanan. -K! ONLINE










