KUALA LUMPUR 21 Dis. – Hala tuju UMNO kini adalah untuk menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus memadamkan sindiran bahawa parti itu berada dalam keadaan tidak menentu dan berpecah-belah.
Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi mencapai sasaran itu partinya mahu menjuarai isu-isu kehidupan rakyat seperti tekanan ekonomi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga mengumumkan partinya akan memberi lebih kuasa kepada UMNO negeri untuk membuat keputusan supaya tidak terlalu bergantung kepada pimpinan parti di peringkat pusat sahaja.
“Ramai yang membangkitkan apakah hala tuju UMNO, jadi hala tuju kita adalah untuk memperkasakan parti, menjadi pembangkang yang efektif dan seterusnya memenangi PRU-15,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Khas UMNO di Menara Dato Onn, di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Mohamad merasakan amat penting kepemimpinan UMNO di setiap negeri diberikan lebih kuasa kerana mereka memahami apa yang berlaku dalam sesebuah negeri.
“Ini kerana pendekatan di sesebuah negeri mungkin tidak sama dengan pendekatan yang diperlukan di negeri lain.
“Jika bergantung kepada keputusan peringkat pusat sahaja, mungkin tidak wujud perasaan kepunyaan dalam peringkat pimpinan negeri,” katanya.
Mohamad mengharapkan strategi itu penting supaya akhirnya kewujudan beberapa golongan atau fahaman yang berbeza dalam parti dapat dihentikan. – UTUSAN ONLINE










