PULAU PINANG 23 Dis. – Seorang guru wanita kerugian sebanyak RM358,350 selepas disyaki menjadi mangsa penipuan parcel scam oleh seorang lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook.
Mangsa yang berusia 53 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan suspek yang menggunakan nama Yusof Ismail Bin Osman sejak Ogos lalu sebelum suspek menyatakan mahu memberi hadiah kepada mangsa.
Bagaimanapun, suspek meminta guru berkenaan memasukkan sebanyak RM2,850 terlebih dahulu bagi urusan pembayaran duti import dan caj penghantaran yang dibuat mangsa menerusi online.
Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan, selepas berjaya memperdaya mangsa buat pertama kali, suspek kemudian meneruskan helah dengan mendakwa kononnya bungkusan yang dihantar itu mengandungi wang tunai dalam mata wang Amerika Syarikat (AS) berjumlah RM451,363.
Katanya, terpedaya dengan pujukan kenalan Facebook itu, mangsa kemudian membuat kira-kira 10 pemindahan wang ke beberapa akaun membabitkan jumlah antara RM10,000 hingga RM33,000.
“Pelbagai helah diberikan suspek untuk memperdaya mangsa supaya memindahkan wang itu termasuk kononnya bagi membayar kos kepada pihak kastam dan kurier.
“Pembayaran terakhir dibuat mangsa adalah pada 29 Oktober lalu membabitkan jumlah RM107,500 kononnya bagi membawa keluar bungkusan berkenaan yang sudah tiba di pejabat kurier,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, menyedari menjadi mangsa penipuan lelaki yang dikenali menerusi Facebook itu, guru berkenaan akhirnya membuat laporan polis.
Dalam pada itu, Anbalagan mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu yang dikenali menerusi laman sosial apatah lagi apabila melibatkan urusan pemindahan wang.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










