KUALA LUMPUR 2 Dis. – Malaysia berada di kedudukan kelima Indeks Peluang LinkedIn bagi rantau Asia Pasifik sekali gus mencerminkan keyakinan golongan profesional terhadap akses dan potensi mencapai kejayaan berdasarkan peluang yang relevan kepada mereka.
Pengarah Urusan LinkedIn Asia Pasifik, Olivier Legrand berkata, Indonesia dan India berada di kedudukan pertama dan kedua didorong oleh kepercayaan rakyat terhadap potensi pertumbuhan ekonomi selain keyakinan mengejar peluang yang ada.
Menurut beliau, terdapat keinginan yang kuat dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mencapai kejayaan melalui kemajuan kerjaya, menubuhkan perniagaan sendiri dan mencari potensi peluang perniagaan.
“Lebih separuh daripada responden menunjukkan keyakinan akan mencapai segala peluang tersebut pada masa hadapan. Sebaliknya, kekangan utama yang dirasakan perlu ditangani untuk berjaya adalah status kewangan, tiada rangkaian kenalan yang kukuh, pasaran kerja yang sukar, kekurangan bimbingan dan kemahiran profesional.
“Sementara itu, 92 peratus responden percaya kerja keras akan membawa kepada kesediaan untuk perubahan di samping penting untuk bercita-cita tinggi. Majoriti merasakan akses sama rata terhadap peluang memainkan peranan penting dalam kejayaan tanpa mengira jantina,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.
Mengenai memulakan perniagaan sendiri, Legrand berkata, sebanyak 33 peratus responden Malaysia mempertimbangkan ia sebagai peluang utama berbanding di Filipina (52.5 peratus) dan Indonesia (50 peratus).
Katanya, negara-negara seperti Australia, Hong Kong dan Jepun kurang berminat untuk terlibat dengan aktiviti keusahawanan.
“Secara tidak langsung, ia menggambarkan keinginan dan semangat untuk menjadi usahawan dalam kalangan ekonomi membangun. Halangan untuk mencapai peluang adalah nyata dan di sebalik kepelbagaian, rantau ini masih terdapat kesamaan berbanding perbezaan apabila memperkatakan aspirasi dan harapan.
“Apa pun peluang yang tersedia, kita boleh mendapatkan bantuan komuniti sama ada ia berbentuk pembelajaran kemahiran baharu, rangkaian kenalan atau berkongsi bimbingan. Kami boleh membantu untuk mencipta peluang,” ujarnya.
LinkedIn merupakan rangkaian profesional terbesar yang mempunyai ahli sebanyak 153 juta orang di Asia Pasifik termasuk empat juta di Malaysia.
Indeks Peluang
Indonesia
India
China
Filipina
Malaysia
Jepun
Hong Kong
Australia
Singapura
Paling yakin
Paling
tidak yakin
Sumber: Indeks Peluang LinkedIn 2018










