PUTRAJAYA 11 Dis.- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi memberi keterangan berhubung kes pindaan laporan akhir pengauditan syarikat tersebut.
Arul dilihat masuk pada pukul 9.30 pagi dengan memakai topi berwarna hitam dan mengenakan baju kemeja lengan panjang berwarna biru.
Terdahulu, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa turut dilihat berada di Ibu pejabat SPRM.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut dirakam keterangan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes sama.
Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.
Menurut Madinah, Arul dan Ambrin merupakan antara individu yang turut terlibat dalam pindaan itu, malah juga terbabit bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh dan Ali yang ketika itu adalah Ketua Setiausaha Negara.
Turut terbabit, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit. – UTUSAN ONLINE










