ALOR SETAR – Gesaan beberapa pihak termasuk pemimpin utama dalam Pakatan Harapan (PH) supaya kerajaan segera menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dilihat sebagai satu petanda baik untuk mengingatkan kepimpinan sedia ada supaya tidak leka dalam menjalankan tanggungjawab.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan mempunyai keazaman yang tinggi untuk melaksanakan semua janji yang telah dirangka terutama dalam aspek meringankan beban hidup rakyat.
“Semua sedia maklum, selepas mengambil alih kerajaan kita berhadapan dengan kekangan kewangan yang berat dan memerlukan tempoh untuk penyusunan semula dari aspek kewangan dan ekonomi. Dalam tempoh sebelum lima tahun ini, sebahagian besar janji tersebut boleh dilaksanakan.
“Semua pihak dalam parti gabungan PH juga sudah sedia maklum mengenai perkara itu dan jika belum mereka boleh merujuk dengan kepimpinan parti masing-masing mengenai masalah yang sedang kita hadapi. Saya tidak rasa kita (kerajaan) lari dari landasan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Walimatulurus Perdana di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, Khamis lalu, yang meminta kerajaan bertindak segera dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat bagi mengelak kepercayaan diberikan pada PRU-14 lalu terhakis. – Bernama










